Ismail Sabri Dilantik TPM, Hishammuddin Jadi Menteri Kanan | Malaysia News
Ismail Sabri Yaakob - TPM

Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin jadi Menteri Kanan

Kuala Lumpur, MTN – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini.

“Pelantikan (Ismail Sabri) ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” memetik kenyataan itu.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang portfolio Menteri Luar kini berstatus Menteri Kanan dan turut mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.

“Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

“Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta,” menurut PMO.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinannya yang lain atas “sokongan” yang diberikan berikutan pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri yang baru hari ini.

Sumber yang dekat dengan Zahid memberitahu bahawa pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri hari ini tidak mempengaruhi majlis tertinggi untuk membincangkan langkah parti itu keluar dari kerajaan PN malam ini.

“Ia tidak merubah (situasi). Mesyuarat akan berjalan seperti yang dirancang,” kata sumber yang rapat dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas presiden Umno, Najib Razak – yang berada di pihak Zahid – juga mengatakan bahawa Majlis Tertinggi Umno akan membuat keputusan malam ini.

“Seperti bagi menteri-menteri, pelantikan baru ini bawah bidang kuasa khusus PM8.

“Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Apa pun, kita tunggu dan lihat apa keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Walaupun majoriti ahli majlis tertinggi berada di pihak Zahid, namun majoriti ahli parlimen Umno dan BN kelihatan berpihak kepada Ismail dan Hishammuddin.

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •