Ku Li: UMNO turun darjat bekerjasama dengan Bersatu
Ku Li: UMNO turun darjat bekerjasama dengan Bersatu
Kuala Lumpur, MTN – UMNO sepatutnya tidak menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana ia menurunkan darjat parti itu, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Veteran UMNO yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata, beliau tidak pernah bersetuju dengan kerjasama itu sejak dari awal.
“Saya awal-awal lagi tidak setuju UMNO membantu Bersatu menubuhkan kerajaan. Saya beritahu kepada pemimpin UMNO dan Ahli Parlimen UMNO, tapi banyak orang tidak sependapat dengan saya.
“Apabila kita berbuat demikian (penjajaran baharu) kita sudah turun darjat. Kita ini bukan parti lagi tapi sudah menjadi institusi.
“Kalau kita merendah diri sampai tahap itu orang tidak hormat kita,” katanya ketika ditemu bual dalam program bersama Ku Li yang disiar Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ku Li mengulangi pendiriannya bahawa UMNO perlu keluar daripada kerajaan PN serta Ahli Parlimen UMNO meletak jawatan yang dipegang dalam kerajaan.
“Jadi patut bercerai, itu kehendak akar umno, itu yang diputuskan dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno),” dakwanya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut mendakwa pembentukan kerajaan PN dilakukan secara ‘curi’.
Katanya, kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat dan bukannya melalui peralihan kuasa.
“Saya hendak kritik banyak sangat takut nampak berupa politik sangat tetapi tidak dapat kita pisah daripada masalah itu.
“Sebab kita tengok kerajaan sekarang dibentuk secara curi. Tidaklah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dengan mandat yang sah,” katanya lagi.
Katanya, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini juga semakin terhimpit dengan pelbagai kontroversi termasuk isu keabsahan.
“Saya rasa kerajaan sekarang ada masalah besar antaranya soal keabsahan (di mana) selagi Perdana Menteri (Muhyiddin)… walaupun dilantik dengan sah oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tetapi belum diuji di Parlimen,” katanya lagi. [AA]