Isu RM13 juta: Mukhriz menuntut Sanusi buat laporan polis atau minta maaf

Isu RM13 juta: Mukhriz menuntut Sanusi buat laporan polis atau minta maaf
Kuala Lumpur, MTN – Mukhriz Mahathir menuntut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membuat laporan polis atas dakwaan pemindahan RM13 juta milik sebuah syarikat milik kerajaan negeri ke akaun bank di Kanada atau memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.
Ini menyusul kenyataan Sanusi semalam yang mendakwa jumlah itu dipindahkan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar ke akaun Bank Barclays.
Mukhriz berkata, disebabkan kenyataan Sanusi, ramai yang beranggapan beliau di sebalik pemindahan wang itu.
“Beliau perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakannya. Saya memandang serius komen itu.
“Buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis supaya siasatan terperinci boleh dilakukan.
“Atau saya cabar MB mohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau,” katanya pada sidang media hari ini.
Mukhriz berkata, dakwaan Sanusi tidak berasas dan beliau akan mempertimbangkan “tindakan susulan” berdasarkan nasihat peguamnya.
“Saya menafikan sebarang pembabitan dalam perkara ini. Saya terkejut dengan dakwaan liar ini dan sejak ia disiarkan, ia memberi imej buruk kepada saya, parti yang saya wakili dan kerajaan Kedah terdahulu yang saya terajui.”
Mengenai isu beg barang kuih raya berjumlah RM1.3 juta ketika Mukhriz menjadi MB yang dibangkitkan Sanusi, Mukhriz berkata, beliau “tidak percaya” dengannya.
Ini kerana, katanya, kerajaannya tumbang sebelum Hari Raya tahun lalu, jadi tiada kemungkinan perkara itu berlaku.
Beliau berkata, Sanusi berkemungkinan merujuk pakej bantuan makanan untuk 36,000 keluarga di 36 DUN pada permulaan Covid-19.
Mukhriz berkata, setiap pek itu mengandung makanan bernilai RM35, manakala pembungkusannya berharga RM2.60 setiap satu.
“Anda perlu ingat kami disingkirkan pada Mei 2020, sebelum Hari Raya. Oleh itu, ia agak diragui beliau mendakwa ada sesuatu tidak kena berlaku membabitkan pemberian kuih raya.”
Sanusi turut menempelak Mukhriz yang didakwa dikelilingi “punah sihat”, bukannya penasihat yang meninggalkan bil berjumlah RM1.3 juta untuk beg barang kepada kerajaan negeri, di mana “harga beg lebih mahal daripada kuih raya”.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz mengingatkan Sanusi yang beliau tidak boleh lagi menjadi dirinya sejak dilantik sebagai MB.
Katanya, Sanusi perlu sedar selaku MB, beliau mewakili kerajaan negeri dan rakyat.
“Beliau bukan Sanusi Md Nor. Beliau ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah. Beliau bukan sekadar orang biasa.
“Beliau perlu berhati-hati dengan apa yang dikatakannya dalam sidang media. Beliau tidak boleh mewakili dirinya, tetapi kerajaan pimpinannya.”
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia