Kabinet Ismail Sabri hanya kitar semula menteri-menteri, sangat menghampakan
Kabinet Ismail Sabri hanya kitar semula menteri-menteri, sangat menghampakan
MTN – Pembentukan anggota kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan hanya kitar semula menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan menangani masalah Covid-19 dan ekonomi secara berkesan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan terhadap kabinet baharu ini juga sangat menghampakan.
“Apa yang kita harapkan sekarang ialah satu perubahan tetapi ini tidak berlaku.
“Perdana Menteri memberikan tempoh 100 hari untuk menteri-menteri menunjukkan prestasi. Satu setengah tahun yang lalu tidak ada kemajuan yang membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pembentukan kabinet Ismail Sabri menerusi sebuah video yang disiarkan di Facebook pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, mereka sebagai pembangkang akan tetap secara lantang memantau, menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program pelaksanaan yang lebih mantap dan berkesan bagi menangani masalah Covid-19 dan perubahan terhadap kehidupan rakyat.
“Tetapi yang saya kira agak nyata ialah ia tidak mampu menyuntik semangat baharu dan keyakinan pelabur dalam atau luar negara,” katanya.
“Reaksi spontan rakyat menghampakan kerana ia adalah kitaran semula seperti yang diwar-warkan, kabinet baru kabinet lama yang tidak berubah,” kata beliau.
Anwar kecewa di dalam keadaan negara sedang hadapi krisis pendemik Covid-19 yang lebih meruncing ditambah pula ekonomi rakyat terutama golongan bawahan semakin tertekan tetapi langkah Ismail hanya kitar semula menteri-menteri.
“Menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan tangani masalah rakyat secara berkesan.
“Oleh demikian sambutan ia sangat menghampakan,” katanya lagi.