Kabinet Ismail Sabri Angkat Sumpah - 31 Menteri, 37 Timbalan | Malaysia News
Kabinet Ismail Sabri

Kabinet Ismail Sabri angkat sumpah – 31 menteri, 37 timbalan

Kuala Lumpur, MTN – Seramai 31 menteri dan 37 timbalan menteri selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Seorang muka baharu, Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alami yang dilantik sebagai sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan, selepas disahkan positif COVID-19.

Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan tujuh menteri terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Fadzillah Yusuff, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Radzi Jidin, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Seri M Saravanan.

Antara muka baharu yang mengangkat sumpah hari ini ialah Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Ahli Dewan Negara, Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Empat lagi muka baharu ialah Yamani Hafez Musa (Timbalan Menteri Kewangan) Datuk Seri Ti Lian Ker (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (Timbalan Menteri Pertanian) dan Datuk Jalaluddin Alias (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan).

Selain itu, tiga Ahli Parlimen diserap kembali dalam Kabinet iaitu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan; Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Persekutuan berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan beliau terpaksa menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan sebagai kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri telah mengumumkan barisan Kabinet beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri seminggu sebelumnya. [AA]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •