Kejutan 13 Julai : Anwar Bakal Sokong Muhyiddin? | Malaysia Top News
July 8, 2020

Kejutan 13 Julai : Anwar bakal sokong Muhyiddin?

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diramalkan bakal menerima sokongan tidak disangka daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengukuhkan kedudukannya dalam mendepani usul undi penentuan kepercayaan terhadap beliau pada sidang Parlimen, 13 Julai nanti.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sokongan diberikan Anwar itu susulan kekecewaan beliau terhadap tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat berulangkali menafikan hak beliau sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang selain peralihan sokongan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kepada kumpulan Dr Mahathir.

Melalui perubahan sokongan kepada Muhyiddin, Ahmad Atory mendakwa Anwar akhirnya dapat menggagalkan rancangan Dr Mahathir menjadikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri bagi blok pembangkang kelak.

“Sebenarnya jika Dr Mahathir tidak meletakkan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri, Anwar mungkin berpeluang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Muhyiddin susulan ada segelintir ahli Parlimen daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan cenderung menyokong beliau.

“Dr Mahathir menyedari hakikat itu dan terpaksa mencalonkan Mohd Shafie untuk menggagalkan Anwar walaupun beliau menyedari tindakan itu akan memecahbelahkan blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

“Kini, Anwar dipercayai menjalinkan ikatan kerjasama secara ‘senyap-senyap’ dengan Muhyiddin bagi menggagalkan pula usaha Dr Mahathir mengangkat Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri PH Plus dan situasi ini pastinya memberi kelebihan kepada Muhyiddin,” katanya merujuk sumber Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas situasi terkini hala tuju Anwar selepas Presiden PKR itu dilihat seolah-olah disisihkan DAP dan Amanah yang lebih cenderung menyokong Dr Mahathir dalam menentukan calon Perdana Menteri bagi gabungan blok pembangkang ketika ini.

Terkini, Dr Mahathir mencadangkan Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi blok PH Plus, dengan Anwar dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dicalonkan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Cadangan itu dikatakan mendapat sokongan DAP dan Amanah, bagaimana pun kedua-dua parti itu menegaskan perlu membincangkannya di peringkat dalaman dan Majlis Presiden PH terlebih dahulu.

Pertemuan kontroversi Ahmad Atory berkata, peralihan sokongan Anwar kepada Muhyiddin turut disebabkan pengaruh Anwar dalam partinya sendiri, PKR dilihat semakin terhakis dengan ramai ahli dan penyokong parti bertindak keluar daripada parti itu dari masa ke masa.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan DAP dan Amanah kini melihat Dr Mahathir lebih berpengaruh dan berkemampuan daripada Anwar dalam usaha mengambil alih semula kerajaan daripada tangan Perikatan Nasional.

Muhyiddin
“Atas sebab itu, Anwar dilihat sudah mula bermesra dengan Muhyiddin untuk mewujudkan pakatan baharu dengan pertemuan kontroversi beliau bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini seolah-olah mengesahkan perkara itu.

“Bagaimanapun, saya berpandangan Muhyiddin masih memerlukan UMNO, Pas dan kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangkakan diadakan pada bila-bila masa.

“Justeru, sejauh mana hubungan kerjasama antara Muhyiddin dan Anwar dapat dikekalkan selepas persidangan Parlimen akan datang adalah bergantung kepada strategi Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman tidak menolak kemungkinan teori kerjasama Anwar dan Muhyiddin benar-benar akan berlaku susulan kedua-duanya merupakan kawan lama dan mempunyai pengaruh tersendiri dalam parti masing-masing.

Menurutnya, Anwar menerusi partinya, PKR boleh membantu mengukuhkan blok Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin susulan mempunyai bilangan ahli Parlimen antara teramai selain dianggap parti pelbagai kaum.

“Sekiranya kerjasama itu benar-benar berlaku, maka margin Muhyiddin mengekalkan jawatan Perdana Menteri dapat dikekalkan sampai penghujung penggal pentadbiran kerajaan tanpa perlu mengadakan PRU15 secara mengejut.

“Kemungkinan kerjasama itu berlaku ada asas kerana keadaan politik sekarang sangat cair dengan mana-mana parti tidak berpaksikan pada satu-satu ‘tiang seri’ sahaja. Dalam bahasa politik mudah, kebanyakan pemimpin politik bermain banyak ‘kolam’ pada ketika ini,” katanya.

Namun, Abdul Aziz menolak kemungkinan Muhyiddin bakal mengadakan PRU mengejut dalam masa terdekat susulan kedudukan Bersatu pada ketika ini dilihat sangat lemah.

Selain itu, beliau menegaskan kerjasama Perikatan Nasional di antara UMNO, Pas dan Bersatu masih belum dapat dimuktamadkan dengan UMNO dan Pas dirasakan lebih selesa bergerak di bawah panji Muafakat Nasional.

Mahathir
Pengaruh Azmin“

Bagaimanapun, masalah dalaman UMNO yang kini mempunyai empat fraksi terdiri pasukan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohammad Hasan dan Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memberi kelebihan kepada Muhyiddin untuk merundingkan bentuk kerjasama lebih menguntungkan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan bentuk kerjasama di antara Anwar dan Muhyiddin sukar direalisasikan kerana Muhyiddin dilihat masih memerlukan pengaruh Mohamed Azmin untuk mengukuhkan Bersatu.

Menurutnya, Muhyiddin juga harus berasa sangsi dengan tindakan Dr Mahathir yang masih menyenaraikan nama Anwar dalam senarai Kabinet bayangan PH Plus walaupun Presiden PKR itu secara terbuka menolak cadangan beliau.

“Isu perseteruan Anwar dan Mohamed Azmin sangat jelas selama ini, jadi adakah Mohamed Azmin akan bersetuju sekiranya Muhyiddin hendak mengadakan kerjasama politik dengan Anwar selepas ini?

“Satu lagi persoalan, adakah UMNO dan Pas bersetuju untuk terus kekal dalam Perikatan Nasional sekiranya Anwar dijemput menyertai pakatan itu?

“Bagi saya, ini adalah antara bentuk persoalan rumit yang mungkin menyaksikan kerjasama Anwar dan Muhyiddin gagal direalisasikan,” katanya. -[SH]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •