Kemalangan LRT - 47 Cedera Parah, 116 Cedera Ringan | Malaysia News
September 20, 2024

Kemalangan LRT – 47 cedera parah, 116 cedera ringan

Kemalangan LRT – 47 cedera parah, 116 cedera ringan

Kuala Lumpur, MTN – Seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung berhampiran stesen KLCC.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyatakan insiden kemalangan membabitkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) adalah pertama kali berlaku di negara ini sejak operasinya pada 23 tahun lalu.

Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Prasarana sedang melihat secara terperinci sama ada perkhidmatan LRT ini akan beroperasi seperti biasa semula esok atau sebaliknya.

“Paling penting pada masa ini adalah memastikan setiap penumpang yang mengalami cedera parah dan ktritikal mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya.

Ka Siong berkata, siasatan secara menyeluruh dan terperinci perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Ini adalah satu kejadian kemalangan yang amat serius dan mendukacitakan, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Prasarana dan Agensi Pengangkutan Awam Darat dalam mencari punca sebenar kejadian ini,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kesemua mereka yang cedera dikejarkan ke hospital dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu.

“Kita dapati mungkin berlaku misscommunication di pusat kawalan LRT,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Kemalangan LRT - Malaysia

Menurutnya, insiden itu disiasat di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata kejadian berlaku apabila tren bernombor 181 yang membawa 213 penumpang bertembung dengan sebuah tren bernombor 240 yang dinaiki seorang pemandu dan seorang operator.

Pada masa itu katanya, tren bernombor 240 itu sedang dipandu uji secara kawalan manual serta tidak diselaraskan dengan kawalan pusat.

Kedua-dua tren bergerak dalam kelajuan 40km sejam dan 20km sejam.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah panel pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan itu.

“Esok ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) akan hantar laporan awal kepada saya.

“Dalam tempoh dua minggu, kita akan kenal pasti sama ada ia disebabkan oleh kesilapan dari segi sistem signalling atau pun misscommunication.

“Kita akan pastikan kita akan siasat apa punca kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, video dan gambar mengenai kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan keadaan dalam tren dengan cermin yang pecah serta penumpang yang cedera.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply