Vaksin Dari China Lambat - Apakah PM Sibuk Sangat ? | Malaysia News
June 20, 2021
Anwar Ibrahim

Vaksin dari China Lambat – Apakah PM sibuk sangat ?

Kuala Lumpur, MTN – Pengerusi PH Anwar Ibrahim mempersoalkan penghantaran perlahan vaksin Covid-19 yang diperbuat di China, walaupun sebelum ini ada laporan yang mengatakan Malaysia akan diberi keutamaan.

Anwar berkata Malaysia telah membeli 15 juta dos vaksin yang diperbuat di negara itu tetapi setakat ini hanya menerima satu juta dos – iaitu tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan pesanan.

Katanya, negara seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja masing-masing telah menerima 59, 48 dan 32 peratus daripada pesanan vaksin dari China, yang juga termasuk vaksin Sinovac dan Sinopharm.

“Mengapa begitu teruk keadaan di Malaysia?

“Apakah perdana menteri sibuk sangat tak boleh hubungi China untuk minta supaya (penghantaran vaksin) disegerakan? Padahal kalau kita lihat, Menteri Luar China Wang Yi telah beri keutamaan kepada Malaysia ketika kunjungannya (ke Malaysia pada Oktober lalu),” katanya sambil membangkitkan kenyataan Menteri Luar Hishammuddin Hussein yang menyifatkan China sebagai “abang” pada April lalu.

Malaysia Vaccine Suplay - Anwar Ibrahim

Anwar yang juga presiden PKR berkata demikian dalam siaran langsung di Facebook semalam.

Menurutnya, Malaysia dan China telah memeterai persetujuan pada November tahun lalu, di mana Malaysia akan diberi keutamaan untuk akses vaksin Covid-19 yang dibangunkan negara itu.

Advertisement

Setakat ini, kerajaan menggunakan tiga vaksin – Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan mengapa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) belum meluluskan penggunaan Sinopharm.

Katanya, laporan sebelum ini menyatakan sebanyak 10,000 dos vaksin itu dijadual tiba di Malaysia pada bulan ini tetapi ia belum diluluskan untuk digunakan.

Anwar Ibrahim - Malaysia Vaccine Suplay

Kira-kira 42 negara telah meluluskan penggunaan vaksin itu, antaranya Argentina, Brunei, Kemboja dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), katanya lagi.

“Sampai sekarang kalau ikut kenyataan (pihak kerajaan) ia belum terima kelulusan. Saya anggap ini kelembaban dan kegagalan, ini kerajaan gagal, sehingga rakyat terkorban akibat kecuaian, kelemahan dan keangkuhan (mereka),” kata ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Dia juga berkata kerajaan boleh menguatkuasakan sebanyak mana kawalan pergerakan, tetapi penularan wabak ini tidak akan dapat dikekang jika ia tidak diiringi dengan ketelusan data dan program vaksinasi yang baik. [MK]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •