Kemenangan Kimanis Bawa Mesej Kerukunan Kaum

MEMBAKUT: Rakyat Kimanis diminta memberi mesej jelas kepada orang dari Semenanjung agar mempelajari kerukunan hidup penduduk berbilang kaum dan agama di Sabah, dengan memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rakyat Kimanis perlu menolak dakyah yang cuba mengheret masalah di Semenanjung ke negeri ini kerana keadaan politiknya berbeza.

“Di sini, tidak panas masalah kaum dan agama, tak macam di Semenanjung. Jadi, kalau ada orang dari Semenanjung banyak cakap pasal kaum, minta dia belajar kerukunan hidup daripada rakyat Sabah.

“Sebab itu saya datang sokong calon WARISAN. Saya mahu orang Kimanis bagi mesej jelas, minta orang Semenanjung belajar kerukunan kaum rakyat pelbagai kaum di Sabah,” katanya ketika berceramah di Kampung Pimping, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kerukunan dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum serta agama di Sabah boleh dimanfaatkan sebagai contoh untuk menangani masalah antara kaum di Semenanjung.

“Ini sumbangan orang di sini. Saya harap bagi isyarat yang baik. Ada orang kata kalau WARISAN kalah, ia tak jejas kerajaan negeri dan Pusat tetapi mesejnya salah, rakyat dikelirukan.

“Rakyat mesti ajar pemimpin politik negara ini bahawa kami memilih pembangunan, pilih kerjasama antara kaum dan agama. Mesej itu penting, jangan sebab orang kampung kerja toreh getah, tak boleh sumbang apa-apa,” katanya.

Anwar memberi contoh, ketika zaman kanak-kanaknya, nenek beliau menasihatinya supaya tidak mengambil hak orang lain selepas melihatnya membawa pulang buah pala dari kebun orang Cina yang diambil tanpa kebenaran.

Katanya, neneknya selaku orang kampung yang tiada pendidikan boleh memberikan nasihat yang baik berkaitan hak orang lain yang perlu dijaga.

“Jadi, jangan cakap orang kampung seperti di Kimanis ini tidak boleh sumbang apa-apa. Ramai juga orang berpendidikan bergelar peguam, doktor dan profesor tetapi mengambil hak orang lain dan melakukan perkara tidak baik,” katanya.

Anwar menegaskan, rakyat bagaimanapun perlu menerima kenyataan bahawa perubahan adalah penting untuk masa depan mereka.

Katanya, undi adalah untuk masa depan rakyat, bukan untuk menjaga menteri atau memberi kemenangan peribadi kepada calon bertanding, sebaliknya menjadi wakil kepada rakyat.
-Bharian

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •   
  •  
  •  

Post Author: MTN

Leave a Reply