Kepimpinan Amanah Tidak Tahu Shafie Apdal Calon PM | Malaysia Top News
July 8, 2020

Kepimpinan Amanah tidak tahu Shafie Apdal calon PM

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus menegaskan kepimpinan parti itu tidak dimaklumkan mengenai sebarang keputusan Amanah terhadap cadangan memilih Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Md Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang.

Abang Ahmad Kerdee berkata, sehingga kini tiada sebarang pengumuman dikeluarkan kepimpinan tertinggi Amanah berkenaan cadangan dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dan pihaknya mengakui baharu mengetahuinya sebentar tadi.

“Tiada sebarang maklumat diterima. Bahkan saya sendiri baru mengetahui berita itu memandangkan saya bukan dalam blok perunding bagi parti Amanah,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas pendedahan Dr Mahathir yang mendakwa beliau bersama penyokongnya bersetuju memilih Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi blok pembangkang.

Beliau turut mendakwa nama Mohd Shafie turut disokong DAP dan Amanah dalam satu pertemuan dengan kepimpinan Warisan sebelum ini.

“Memandangkan saya yang menamakan beliau (Mohd Shafie), saya berharap akar umbi parti akan menyokong pencalonan beliau. Saya rasa sekiranya saya sudah tiada, kita mahu seseorang untuk meneruskan perjuangan kita.

“Atas sebab itu, kita meminta semua pihak untuk menyokong Mohd Shafie kerana hala tuju perjuangan Warisan adalah sama dengan saya untuk menentang (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu rakaman video diambil dalam satu mesyuarat bersama akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Terengganu di Yayasan Kepimpinan Perdana malam tadi.

-[SH/SinarHarian]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •