Kerajaan Nak Sekat Media, Mana Laungan ‘Keluarga Malaysia’ ? | Malaysia News
September 18, 2021
Salahuddin Ayub - Ahli Parlimen Pulai

Kerajaan nak sekat media, Mana laungan ‘Keluarga Malaysia’ ?

MTN – Susulan sekatan yang terhadap agensi media yang membuat liputan pada Sidang Parlimen Dewan Rakyat yang akan bermula 13 September ini, Ahli Parlimen Pulai Datuk Salahuddin Ayub menyelar tindakan itu.

Salahuddin berkata, suara dan peranan agensi media dalam menyampaikan berita serta maklumat kepada masyarakat tidak sepatutnya dikawal dan ditapis-tapis.

“Peranan media sangat penting untuk menjadikan masyarakat lebih cakna dan peka.

“Apakah yang ditakutkan oleh kerajaan?

“Hampir 2 tahun, kebebasan pergerakan kita tersekat dan hidup terkepung dengan pelbagai versi PKP,” katanya.

Beliau berkata rakyat mulai bosan dengan keadaan yang seperti tiada penghujungnya dan kini kerajaan pula menyekat kebebasan maklumat dan akses media.

Timbalan Presiden AMANAH itu juga berkata tindakan menyekat media tetapi hanya media terpilih sahaja dibenarkan sedangkan Dewan Rakyat merungkai serta membentangan segala permasalahan rakyat.

“Di mana asas kebebasan bersuara dan laungan ‘Keluarga Malaysia’ yang dicanang, dalam masa sama, kita lihat hanya ‘Keluarga Kami’ yang banyak dalam agenda kerajaan.

“Tidak sepatutnya pandemik Covid dijadikan alasan semata-mata,” katanya.

Katanya, kenyataan Menteri Kesihatan sendiri menyatakana tentang bagaimana negara kini menuju ke fasa endemik dan harus menyesuaikan diri hidup dengan virus ini.

Namun, katanya kelihatannya pihak kerajaan sendiri yang tidak bersedia dan menggunakan Covid-19 sebagai perisai untuk melindungi kelemahan mereka.

“Hari ke hari rakyat lihat tindak tanduk kerajaan sekarang seperti melangkah ke belakang. Pada zaman media dikawal ketat.

“Bahkan sekarang mungkin akan jadi lebih teruk berbanding sebelum PRU-14. Hentikan diskriminasi terhadap agensi media.

“Berikan hak sama rata dan jangan pilih kasih,” katanya yang meminta Menteri Komunikasi baru ini sudi duduk bersama badan-badan yang mewakili ‘orang-orang media’ ini.

Sebelum ini, Azhar menyenaraikan 16 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan pada sidang akan datang.

Selain agensi media kerajaan, pihak lain yang dibenarkan termasuk Malaysiakini, TV3, Astro Awani, Berita Harian, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban, AFP dan MalaysiaNow. [MD]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •