PH Mempersetujui MoU Demi Menyelamatkan Nyawa Dan Mata Pencarian Rakyat | Malaysia News
September 18, 2021
Mat Sabu - Anwar Ibrahim - Ismail Sabri - Lim Guan Eng

PH mempersetujui MoU demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat

MTN – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memaklumkan gabungan itu cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan, PH berkata memorandum persefahaman ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertingginya dengan Ismail pada 25 Ogos lalu

“Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

“Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PH berkata pertemuan turut diadakan semalam di antara wakil PH dan wakil perdana menteri.

Wakil Perdana Menteri terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Manakala wakil PH terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Advertisement

“Pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19.

“Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan,” katanya.

Suntikan fiskal tambahan RM45b

Majlis Presiden PH juga menyatakan pendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dilakukan kepada dana Covid-19 untuk menangani pandemik ini.

Selain itu, gabungan itu turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum dengan pihak kerajaan.

Semalam, Ismail mengumumkan mesyuarat kabinet bersetuju untuk melaksanakan tujuh pembaharuan parlimen dan pentadbiran.

Tujuh pembaharuan tersebut adalah:

  • Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.
  • Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
  • Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
  • Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
  • Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
  • Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

[MK]

Kenyataan Media PH - 11 September 2021

Kenyataan Media PH - 11 September 2021

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •