Muhyiddin Sebenarnya Tidak Mempunyai Pendirian Yang Jelas | Malaysia News
September 18, 2021
Mohamed Khaled Nordin - Muhyiddin Yassin

Muhyiddin sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang jelas

MTN – Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin hari ini menganggap kenyataan Muhyiddin Yassin mengenai sikapnya menyokong Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri sebagai sangat canggung.

Kata Khaled penjelasan Muhyiddin itu dibuat hanya kerana presiden Bersatu terbabit mahu memastikan partinya dan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Khaled berkata antara kecanggungan itu ialah bagaimana ahli parlimen Pagoh itu mahu menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat daripada kegagalan kerajaan PN di bawahnya.

“Hakikatnya, kejatuhan PN disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia menjadi antara punca Umno menarik balik sokongan,” katanya.

Malam tadi semasa menyampaikan ucapan sempena sambutan tahun kelima Bersatu Muhyiddin menjelaskan mengapa dia memberikan sokongan kepada Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

Antara alasan diberikan perdana menteri kelapan itu ialah, dia mahu mengelakkan Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan dengan sokongan “kumpulan kleptokrat” dan Bersatu pula menjadi pembangkang.

Kleptokrat itu biasanya merujuk kepada beberapa watak utama dalam Umno sekarang termasuk bekas perdana menteri Najib Razak yang dibicarakan dalam skandal 1MDB.

Advertisement

Menurut Khaled lagi Muhyiddin sebenarnya sedar bahawa pendirian untuk menganggap Umno secara umum sebagai pendukung kleptorat adalah tidak benar, malah sangat bercanggah dengan kesanggupannya kembali bekerjasama dengan ramai wakil Umno.

“Ketiga, penolakan Muhyiddin kepada PH dan sebahagian pemimpin Umno adalah bermusim dan sangat bersifat acuh tak acuh.

“Hal ini kerana, perdana menteri yang disokongnya memutuskan untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin PH atau pembangkang yang lain sebagai satu pendekatan baru. Tidak terdapat sebarang bangkangan daripada Muhyiddin dalam hal ini,” katanya lagi.

Justeru kata Khaled berdasarkan keadaan itu Muhyiddin sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang jelas dan tetap sebalik lebih selesa bertukar-tukar untuk menjustifikasikan tindakannya.

“Jelas bahawa Muhyiddin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan kita.

“Sudah diberi ruang dan peluang bertaraf menteri, fokuskan sajalah kepada peranan dan tanggungjawab yang baru diberi,” katanya. [MK]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •