KJ, Usah Perlekeh Nyawa Rakyat - Anwar Ibrahim | Malaysia News
June 20, 2021
Anwar Ibrahim

KJ, Usah Perlekeh Nyawa Rakyat – Anwar Ibrahim

Kuala Lumpur, MTN – Menggesa supaya Kerajaan Persekutuan berhenti bermain politik, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat “penipuan” membabitkan dos vaksin COVID-19 yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Anwar, jumlah dos vaksin yang diperoleh kerajaan negeri itu daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sama sekali bercanggah dengan data dikeluarkan kementerian berkenaan.

Ketua Pembangkang itu berkata, Selangor hanya memiliki 615,000 dos vaksin sehingga 31 Mei lalu, berbanding 2.9 juta yang dikatakan telah disalurkan kepada negeri tersebut.

“Khairy (Jamaluddin) perlu menjelaskan bagaimana penipuan ini boleh berlaku. Sepanjang hayat saya dalam arena politik, tidak pernah saya melihat ketidakcekapan, keangkuhan dan kekejaman seperti ini.

“Berapa banyak nyawa yang boleh diselamatkan jika kerajaan lebih cekap dalam mengendalikan pemberian suntikan vaksin,” katanya yang turut menyifatkan kerajaan seolah-olah sedang memperjudikan nyawa rakyat.

Advertisement

Jumlah dos vaksin yang diterima oleh Selangor itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri (Kesihatan), Dr Siti Mariah Mahmud.

Semalam, 103 pesakit COVID-19 maut, sekaligus menaikkan jumlah kematian kepada 3,096 sejak pandemik ini bermula awal tahun lalu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut membidas tindakan Khairy yang hanya membenarkan penglibatan sektor swasta dalam pemberian vaksin selepas dikritik, susulan pertambahan jumlah kematian.

“Ini menyebabkan ramai orang membuat spekulasi bahawa terdapat tangan ghaib yang sedang memperoleh keuntungan dari pemberian suntikan vaksin, sedangkan rakyat biasa perlu bersabung nyawa.

“Kita perlukan kepimpinan yang jelas. Kita perlukan kepimpinan yang tekad, bukannya orang yang berpura-pura pandai tatkala ramai yang terkorban,” tegasnya.

-Getaran

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •