KKM: 605 Lokasi Untuk Dijadikan Pusat Pemberian Vaksin | Malaysia News
April 13, 2021

KKM: 605 lokasi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin

Kuala Lumpur, MTN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 605 lokasi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi membolehkan program vaksinasi itu dilaksanakan yang dijangka bermula akhir bulan ini.

Menurut Buku Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada Selasa, PPV sementara seperti stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai, universiti serta fasiliti bersesuaian juga akan dibuka mengikut keperluan dan lokasi itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari.

Pada masa yang sama, menurut dokumen yang disediakan JKJAV itu, sebanyak 54 lokasi juga akan dijadikan sebagai Pusat Simpanan Vaksin.

“Proses penghantaran dan penyimpanan vaksin di lokasi itu akan melibatkan operasi bersepadu pelbagai agensi kerajaan menerusi KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta pihak berkuasa keselamatan yang lain.

“Setakat ini, KKM berjaya melaksanakan latihan penghantaran vaksin di Klinik Kesihatan Belaga yang merupakan kawasan pedalaman di Sarawak dan Hospital Bintulu pada 29 sehingga 30 Januari lepas sebagai langkah persiapan rapi sebelum proses imunisasi dilaksanakan,” demikian menurut dokumen tersebut.

Sementara itu, vaksin yang akan diberikan hanya meninggalkan kesan sampingan yang ringan dan bersifat sementara seperti sakit, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan, penat, sakit kepala, menggigil, sakit sendi, demam, loya dan bengkak kelenjar limfa.

Advertisement

Buku itu turut menyatakan pemantauan kesan sampingan dan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) akan dijalankan secara pengawasan diperketatkan dengan penerima vaksin yang akan diberi notifikasi dan peringatan berjadual melalui aplikasi MySejahtera bagi melaporkan sebarang masalah dialami.

Pelaporan AEFI juga boleh dibuat oleh petugas kesihatan melalui sistem sedia ada, dan penyiasatan bagi kes yang serius akan dijalankan dengan teliti. Bagi tujuan itu juga, satu jawatankuasa pakar khas turut ditubuhkan bagi menilai kes-kes itu dan isu keselamatan berkaitan vaksin Covid-19.

Program imunisasi itu akan dilaksanakan secara bersepadu melibatkan petugas daripada KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pasukan keselamatan, petugas kesihatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pendaftaran bagi sukarelawan serta maklumat mengenai program imunisasi, boleh diperoleh menerusi laman sesawang http://vaksincovid.gov.my.

Selain itu, bagi membantu masyarakat untuk mengetahui dan memahami perincian serta maklumat tentang program berkenaan, advokasi dan khidmat sokongan akan dilakukan dengan melibatkan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam soal ini, PBT berperanan membina keyakinan masyarakat setempat terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin, selain membantu urusan logistik di pusat vaksinasi bergerak mengikut keperluan masyarakat. [sh]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •