Vaksinasi awal untuk Petugas Media di lapangan
Vaksinasi awal untuk Petugas Media di lapangan
MTN – Beberapa kumpulan wartawan hari ini mengalu-alukan laporan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menyenaraikan wartawan sebagai kumpulan petugas barisan hadapan yang layak untuk menerima vaksin awal Covid-19.
Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) adalah antara kumpulan terawal yang merayu agar pengamal media disenaraikan dalam 500,000 penerima vaksin tersebut yang akan mula diberikan pada hujung bulan ini.
Dengan keanggotaan melebihi 700 orang merentasi pelbagai organisasi berita, Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah berkata vaksinasi awal ini akan membantu tugas wartawan di lapangan.
“Vaksinasi ini akan membantu pengamal media untuk melaksanakan tugas mereka dengan lancar dan memudahkan proses mengumpul berita,” katanya kepada Malaysiakini.
Risiko jangkitan Covid-19 kadangkala tidak dapat dielakkan terutamanya dalam tempoh yang mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi.
Walaupun wartawan pada kebanyakan masa boleh bertugas dari rumah atau mengekalkan jarak yang selamat, jurugambar berita kadang-kadang perlu berada sedekat yang mungkin dengan subjek mereka.
Kumpulan jurugambar The Biddy’s yang mewakili jurugambar berita Malaysia turut mengalu-alukan langkah untuk mendahulukan usaha vaksinasi anggota mereka dan pengamal media lain di lapangan.
“Sejak tahun lepas, ramai dari ahli kami terpaksa melalui saringan Covid-19 berulang kali selepas membuat liputan di kawasan berisiko tinggi atau menjadi kontak rapat,” kata mereka.
Institut Wartawan Malaysia (IOJM) berkata industri media setakat ini mengambil langkah perlindungan yang proaktif, malah menanggung kos saringan Covid-19 tanpa sebarang sokongan dari sektor awam.
“Jika wartawan dimasukkan dalam fasa vaksinasi yang terkemudian, tempoh berbulan-bulan untuk menunggu itu akan mendedahkan industri media kepada risiko dan memberi kesan secara sosial dan ekonomi.
“Wartawan memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan berita penting kepada orang ramai di samping melawan maklumat salah yang tersebar dengan semakin meluas bersama-sama wabak ini,” kenyataan IOJM dipetik.
“Malah jika wartawan divaksin sekali pun, IOJM ingin mengingatkan mereka agar mengamalkan prosuder operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengelak daripada risiko yang tidak diperlukan,” kata kumpulan tersebut yang terdiri daripada wartawan-wartawan, staf pengurusan, dan lain-lain lagi daripada industri media.
Kumpulan pendesak media iaitu Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata vaksinasi awal untuk petugas media ini akan menggalakkan usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan penerimaan vaksin dan mencapai imuniti kawanan.
“Vaksinasi awal untuk pengamal media akan membantu dalam melawan naratif yang menentang vaksinasi, dengan lebih banyak sebaran maklumat untuk mematahkan kenyataan-kenyataan palsu, bukan sahaja menerusi laporan berita tetapi juga menerusi interaksi pihak media dengan orang ramai,” kata Geramm.
Selain daripada mengalu-alukan langkah tersebut, Foreign Correspondents Club of Malaysia turut menzahirkan harapan mereka agar kerajaan meningkatkan langkah untuk melibatkan pihak media.
“Kami juga berharap agar media diberikan akses untuk melapor secara terus hal ehwal berkaitan vaksin ini agar kami dapat memberikan laporan yang menyeluruh terhadap langkah terbaru ini,” katanya.
Di Malaysia Timur, Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak, Jacqueline David berkata 150 orang anggotanya memberikan nama mereka kepada kerajaan negeri untuk disenaraikan sebagai antara penerima awal vaksin.
Langkah yang sama turut dilakukan Persatuan Wartawan Sabah yang dipimpin oleh Mugunthan Vanar.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pagi tadi berkata wakil rakyat adalah antara penerima vaksin terawal dalam Fasa 1 program vaksin tersebut yang akn bermula pada 26 Februari depan.
Muhyiddin mengumumkan perkara itu selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, 300,000 daripada 500,000 dos vaksin dalam Fasa 1 akan diberikan kepada petugas barisan hadapan sektor perubatan.
Baki 200,000 dos vaksin pula akan diberikan kepada petugas barisan hadapan bukan perubatan seperti anggota keselamatan, pegawai kebajikan dan ahli politik.
Selain daripada kumpulan-kumpulan tersebut, Muhyiddin berkata kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan permintaan daripada kumpulan-kumpulan lain seperti pengamal media dan guru untuk menerima vaksin dalam Fasa 1. [mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalDecember 6, 2024Banjir beransur pulih di tujuh negeri
- Seni & HiburanNovember 14, 2024Siti Nurhaliza dinobat Biduanita Negara – ASN 2024
- NationalNovember 14, 2024Pendedah maklumat utus surat terbuka pada YDPA
- NationalJuly 4, 2024Kuala Lumpur Fashion Week 2024 – Taman KLCC