Vaksin PfizerBioNTech Untuk Kanak-kanak Sudah Tiba | Malaysia News

Vaksin PfizerBioNTech untuk kanak-kanak sudah tiba

Vaksin PfizerBioNTech - Malaysia

Vaksin PfizerBioNTech untuk kanak-kanak sudah tiba

Malaysia menerima sebanyak 624,000 dos vaksin PfizerBioNTech yang akan digunakan bagi pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari 2022 melalui Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Kompleks Raya, Subang hari ini.

Pesawat TH383 milik Raya Air telah mendarat pada jam 7:15 pagi di Kompleks Raya, Subang.

Perjalanan vaksin dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut dan DHL, peneraju dalam industri logistik.

Vaksin ini telah dibawa dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke Malaysia.

“Hari ini sebanyak 72 kotak Sotbox Vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 buah negeri seperti Pahang. Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, WPKL, WP Putrajaya, WP Labuan Selangor, Kelantan dan Terengganu,” menurut hantaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Facebook.

Manakala di kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam ULTF dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Transmile Cargo Kompleks Raya Subang.

Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

Vaksin Covid-19 yang tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.

Ini termasuk penghantaran menerusi udara dari Subang ke Sabah dan Sarawak mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan.

Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini.

Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (Kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur dari 5 hingga 12 tahun boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera.

Sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera.

Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka.

Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat. [MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply