Muhyiddin Dah Lupakah? Dia Khianat PH Dengan Langkah Sheraton - Mazlan | Malaysia News

Muhyiddin dah lupakah? dia khianat PH dengan Langkah Sheraton – Mazlan

Langkah Sheraton

Muhyiddin dah lupakah? dia khianat PH dengan Langkah Sheraton – Mazlan

Bekas ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang membidas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang melabelnya sebagai tidak bermaruah kerana meninggalkan partinya untuk berpihak kepada Umno.

Dia berkata Muhyiddin harus sedar diri, mengingatkannya tentang peranannya dalam Langkah Sheraton.

“Pesan kepada Muhyiddin, jangan angkuh dan cermin diri. Kata dulang paku serpih, mengata orang tidak ada maruah, sendiri yang lebih.

Dia khianat Langkah Sheraton, dia lupakah? Yang dia pancing orang Umno masuk Bersatu, Warisan masuk Bersatu, bukankah dia yang tidak ada maruah,” soal Mazlan seperti dipetik laporan Utusan Online hari ini.

Menerusi Langkah Sheraton, Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan sehingga menyebabkan kerajaan yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad ketika itu runtuh.

Sebelum itu, Bersatu juga berjaya memujuk 15 ahli parlimen Umno menyertai parti tersebut.

Muhyiddin kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.

Langkah Sheraton

Namun 17 bulan kemudian, ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya menyebabkan dia hilang majoriti. Dia kemudian digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Mazlan pada Khamis mengumumkan dia keluar dari Bersatu dan akan menyokong Umno menjelang pilihan raya Johor. Bagaimanapun, Mazlan berkata dia akan kekal tanpa parti buat masa ini.

Dia ialah Adun Puteri Wangsa, sebuah kerusi DUN dalam kawasan pilihan raya parlimen Tebrau.

Susulan peletakan jawatannya, Muhyiddin membidas Mazlan kerana tidak bermaruah dan menuduh langkahnya itu kerana mengetahui Bersatu tidak akan meletakkan dia sebagai calon pilihan raya.

“Dia nak (masuk) Umno? Dia fikir Umno akan lantik (calonkan) dia,” kata Muhyiddin.

Buat masa ini, Bersatu kekal sebahagian dalam kerajaan pimpinan Umno tetapi Umno tidak berselindung dalam menyatakan hasratnya untuk melawan Bersatu dalam PRU15.

Bersatu adalah parti utama dalam gabungan Peringkatan Nasional (PN) yang merangkumi PAS, Gerakan, Star dan SAPP sebagai rakan kongsinya manakala Umno pula adalah tunjang BN dengan MCA, MIC dan PBRS sebagai rakan kongsi. GPS adalah rakannya di Sarawak manakala PBS pula merupakan sekutunya di Sabah.

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Umno memohon pembubaran DUN Johor pada 22 Jan, membuka laluan kepada pilihan raya baru di negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundiaan pada 9 Feb. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply