Lagu baharu bukan berbaur seksual – Sissy Imann
Lagu baharu bukan berbaur seksual – Sissy Imann
Penyanyi, Sissy Imann, berharap tiada pihak tersilap faham dengan menganggap lagu baharunya berbaur seksual apabila menggunakan judul Sudahlah (Meow).
Sissy, 24, berkata dia sedar perkataan ‘meow’ sering dikaitkan dengan unsur lucah, namun ketika mencipta lagu itu bersama Faizal Tahir, Mike Chan dan Mage, ia lebih kepada analogi seekor kucing, sama seperti peneman hidup.
“Sewaktu menghasilkan lagu ini, saya tidak terfikir pula ke arah itu. Saya akui, memang ada yang menganggap perkataan ‘meow’ berbaur seksual, tetapi ia langsung tiada kaitan dengan unsur terbabit.
“Lagu ini sebenarnya bercerita bagaimana nak melupakan kisah bersama orang yang kita sayang. Perkataan terbabit digunakan dalam lagu ini kerana kucing sama seperti peneman hidup. Kucing dalam lagu ini menjadi analogi kepada kekasih yang kita sayang dan sukar untuk berpisah.
“Seumpama kucing jalanan yang kita sayang, jaga dan beri makan hari-hari. Alih-alih, kucing itu tinggalkan kita dan tak datang lagi menjenguk rumah. Kita terpaksa terima hakikatnya walaupun sedih,” katanya sambil berharap tiada lagi pihak tersalah tanggap dengan judul lagu itu.
Baru sahaja dilancarkan pada 8 Oktober lalu, ia juga adalah lagu ‘tribute’ buat watak Watak Marjina daripada filem Ali Baba Bujang Lapok, iaitu seorang hamba yang bijak dan begitu setia terhadap tuannya.
Menurut Sissy, secara keseluruhan, Sudahlah (Meow) adalah sebuah lagu yang menunjukkan kematangan dirinya, terutama dari segi pemilihan muzik.
“Setiap lagu saya tampilkan menunjukkan perubahan diri yang lebih matang. Begitu juga dengan single baharu ini.
“Saya juga memasukkan pengaruh muzik Arab dan India bagi menambahkan lagi nilai seninya, agar halwa telinga pendengar akan rasa lebih seronok. Lagipun, lagu ini mesra kanak-kanak,” tuturnya.
Sementara itu, ditanya mengenai personalitinya yang sentiasa positif dan lucu dalam apa juga situasi, Sissy berkata, sikap sering ditunjukkan kepada umum adalah dirinya yang sebenar.
“Bagi saya, sangat penting untuk menjadi diri sendiri dalam kehidupan seharian. Saya pula melalui kehidupan seperti mengikut arus kerana itulah yang terbaik buat diri ini.
“Bagaimanapun, saya juga perlu sedar, tidak semua orang akan menyukai sikap sebenar kita. Tidak mengapa, saya terima apa sahaja, sama ada yang baik atau buruk,” tuturnya.
Author Profile
Latest entries
- NationalJanuary 22, 2025Pantang undur, demo antirasuah 25 Jan tetap jalan
- NationalJanuary 19, 2025Perjanjian perdagangan bebas M’sia-UK dijangka tingkat pelaburan
- InternationalJanuary 17, 2025Thailand kemas kini program visa jangka panjang
- InternationalJanuary 16, 2025Perjanjian gencatan senjata di Gaza dimeterai, mula Ahad ini