Penerbit Mahathir: The Journey mendakwa mereka sudah cuba berhubung dengan anak sulung Dr Mahathir Mohamad, Marina sebelum melaksanakan projek filem biopik mengenai perdana menteri.
Yusuf Kelana yang turut bertindak sebagai Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media Group, mendakwa usaha berkenaan belum membuahkan hasil disebabkan jadual kerja Marina yang tidak mengizinkan.
“Kami ada hubungi dia tapi tak berkesempatan untuk bertemu kerana dia sibuk,” katanya.
Terdahulu Marina berkata, dia tidak mahu mana-mana pihak merakamkan kisah keluarganya walau dalam apa jua bentuk termasuk melalui filem.
Menurut aktivis sosial itu, dia tidak mahu filem berkenaan menjadi sesuatu yang memalukan keluarganya.
Mengulas kenyataan Marina itu, Yusuf berkata, pihaknya terlebih dahulu mendapatkan kelulusan dari pejabat perdana menteri sebelum mengadakan pelancaran filem itu baru-baru ini.
Malah katanya, pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof, menjadi individu menyemak kesemua babak yang disiapkan untuk filem itu terlebih dahulu sebelum memberikan surat kelulusan.
Siapa lagi nak buat
“Kita ikut prosedur… tak ada buat perkara yang tak ada izin.
“Kami menerima surat kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertulis: Tiada halangan untuk menerbitkan Mahathir: The Journey.
“Selama tujuh bulan kami buat kajian dan berulang-alik ke JPM bagi membolehkan urusan membikin filem dijalankan,” katanya.
Yusuf juga memberitahu Malaysiakini, pihaknya merombak skrip filem tersebut sebanyak 12 kali selepas berbincang dengan JPM.