Langkah Mahathir Untuk Kembali Berkuasa, Halang Anwar Jadi PM – AMK | Malaysia News

Langkah Mahathir untuk kembali berkuasa, halang Anwar jadi PM – AMK

Thiban Subbramaniam - AMK

Langkah Mahathir untuk kembali berkuasa, halang Anwar jadi PM – AMK

Kuala Lumpur, MTN – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dilihat tidak lebih daripada impiannya untuk kembali berkuasa.

Itu dakwaan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subbramaniam yang terkilan dengan sikap bekas Perdana Menteri itu yang mencadangkan diri sendiri untuk mengetuai Mageran.

“Dalam sidang media semalam, Mahathir telah cadangkan Mageran dan dirinya untuk ketuai badan itu. Apa logiknya tindakan ini? Saya sungguh tidak faham langsung sebenarnya.

“Di saat rakyat sedang bergelut dengan Covid dan juga ekonomi, cadangan Mahathir untuk membuat Mageran adalah satu langkah ke belakang yang akan membawa kesan buruk kepada negara ini.

“Situasi negara hari ini tidak sama seperti situasi tahun 1969. Apakah kewajaran Tun M cadangkan Mageran?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Thiban, rata-rata rakyat dan pemimpin politik dari parti pembangkang mahu pun kerajaan seperti UMNO telah menegaskan pendirian mereka untuk mendesak kerajaan menamatkan darurat yang didapati gagal mengekang penularan Covid-19.

“Namun tindakan Tun Mahathir mencadangkan Mageran kepada Yang Dipertuan Agong jelas menunjukkan beliau bersungguh-sungguh untuk kembali berkuasa dengan apa jua cara pun.

“Mengecewakan sungguh mengapa kuasa begitu penting walaupun sebelum ini beliau telah dua kali menjadi Perdana Menteri dan ketika menerajui negara apa yang menjadi janji perjuangan semuanya hanya tinggal janji, ini bukan saya cakap tapi seluruh rakyat sedia maklum,” katanya lagi.

Semalam, Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kejayaan penubuhan Mageran pada tahun 1969 yang diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berjaya menyelesaikan masalah politik dihadapi ketika itu dan negara kekal stabil untuk tempoh panjang.

Kata Thiban lagi, sebenarnya Mahathir mempunyai agenda serta strategi untuk memastikan kerajaan tidak bertukar sekaligus mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya.

“Tun bukan nyanyuk, ini adalah strategi beliau untuk pastikan kerajaan tidak bertukar khususnya Anwar tidak diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Tindakan beliau mencadangkan Mageran dengan menawarkan diri sebagai pengerusi jelas menunjukkan beliau terdesak untuk kembali berkuasa setelah kerajaan PN gagal teruk,” ujarnya.

Justeru, Thiban memohon Yang di-Pertuan Agong untuk mengetepikan cadangan Mahathir dan mengembalikan demokrasi di negara ini dengan mengembalikan semula sidang Dewan Rakyat. [MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply