Mageran 2.0 Tidak Diperlukan - Parlimen Perlu Dibuka Semula | Malaysia News
December 14, 2024

Mageran 2.0 tidak diperlukan – Parlimen perlu dibuka semula

Mageran 2.0 tidak diperlukan – Parlimen perlu dibuka semula

MTN – Majlis Gerakan Negara (Mageran), seperti yang diusulkan Dr Mahathir Mohamad kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak diperlukan kerana akan melumpuhkan lagi peranan parlimen, kata NGO reformasi pilihan raya, Bersih.

Sebaliknya kata Bersih, parlimen perlu dibuka semula dan diberi kuasa untuk memerangi Covid-19.

“Dengan proklamasi darurat, peranan cabang ketiga kerajaan ini telah dilumpuhkan apabila parlimen dan Jawatankuasa Khas Parlimen tidak dibenarkan bersidang dalam tempoh ini.

“Platform paling sesuai bagi membincangkan jalan untuk Malaysia keluar daripada wabak Covid-19 dan kesannya kepada sosio-ekonomi rakyat adalah dengan membenarkan semula parlimen bersidang dan berjalan.

“Dalam tempoh darurat kini, segala kuasa berpusat kepada eksekutif dan segala tindakan serta arahan daripada mereka tidak dapat disemak dan imbang secara berkesan kerana tidak ada keperluan untuk eksekutif menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat,” kata jawatankuasa penaja Bersih pada satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir Mohamad

Darurat yang diumumkan tidak menatijahkan hasil untuk menurunkan angka Covid-19 harian sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan rakyat, kata Bersih lagi.

“Untuk mengulangi tindakan yang sama dengan menubuhkan Mageran 2.0 adalah tindakan yang kebelakang kerana sekali lagi kuasa akan berpusat kepada pihak tertentu tanpa sistem semak dan imbang serta tidak melibatkan peranan semua pihak.

“Mageran 2.0 tidak diperlukan kerana apa yang utama sekarang adalah untuk menamatkan darurat segera supaya kerajaan dan pembangkang dapat memainkan peranan yang sewajarnya,” kata NGO itu.

Perbahasan di parlimen dan pengawasan jawatankuasa pilihan khas parlimen, kata Bersih akan menambah baik segala program kerajaan seperti Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Bersih juga menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera memulakan rundingan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence and suppy agreement, CSA) bersama pembangkang dengan objektif melawan pandemik ini secara bersama bagi menstabilkan politik negara dengan melakukan reformasi dan konsesi yang berkaitan.

“Sekiranya Kerajaan Perak di bawah Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dapat mencapai kerjasama dengan ketua pembangkang di Perak di bawah pimpinan Datuk Dr Abdul Aziz Bari, apakah yang menghalang Perdana Menteri Muhyiddin Yasin untuk berbincang bersama Ketua Pembangkang di Parlimen iaitu Anwar Ibrahim?

“Model ala CSA di Perak seperti peruntukan pembangunan kawasan (CDF), jawatankuasa tindakan daerah yang melibatkan pembangkang dapat dikembangkan di peringkat persekutuan dengan membenarkan jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk bersidang dan mengawasi tindakan kerajaan.

“CSA yang dijalinkan sewajibnya diumumkan kepada rakyat agar rakyat mengetahui apakah terma-terma dan reformasi-reformasi yang dipersetujui antara kerajaan dan pembangkang.

“Kita mampu keluar dari pandemik ini dengan selamat sekiranya semua pihak bergabung tangan dan bekerjasama dengan jujur dan bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan dia telah mengusulkan penubuhan pentadbiran seperti Mageran semasa hadir bertemu Yang di-Pertuan Agong pada 10 Jun.

Pun begitu, dia berkata ragu-ragu cadangannya itu akan membuahkan hasil.

Semalam, Mahathir memperincikan badan ala Mageran itu, menggelarnya sebagai Majlis Pemulihan Negara dan menambah ia bukan bertujuan untuk menggantikan kerajaan. [MK]

Mageran

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply