Jakoa Negeri Sembilan Pastikan Orang Asli Terima Vaksin Covid-19 | Malaysia News
August 6, 2021
JAKOA Malaysia

Jakoa Negeri Sembilan pastikan Orang Asli terima vaksin covid-19

Seremban, MTN – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) terus bergerak aktif bagi memastikan lebih ramai masyarakat Orang Asli di sini divaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis berkata pelbagai inisiatif dilakukan termasuk kunjungan pegawai agensi itu ke kampung Orang Asli setiap hari atau seminggu tiga kali bagi membuat semakan nama dan mengedarkan borang supaya tiada yang tercicir daripada divaksin.

“PKD Seremban bersama Jakoa juga akan menjalankan program khas suntikan vaksin COVID-19 bagi Orang Asli di daerah ini pada masa terdekat, dalam tempoh sekarang, kami dah tak boleh kumpulkan mereka untuk bagi ceramah, itu adalah kekangan besar kami,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Beliau berkata setakat 10 Jun lepas, daripada 4,648 borang pendaftaran vaksin yang diedarkan hanya 32 individu Orang Asli telah menerima suntikan manakala 857 bersetuju divaksin dan 1,138 pula enggan menerima suntikan itu.

Menurutnya, jumlah itu dilihat rendah berbanding seramai 8,167 masyarakat Orang Asli di 69 perkampungan di negeri itu yang layak menerima suntikan.

Advertisement

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan masyarakat Orang Asli yang takut, tidak berminat dan mengambil sikap tunggu dan lihat untuk menerima suntikan disebabkan terpengaruh dengan berita tidak tepat di media sosial.

“Saya percaya tahap kesedaran dan penerimaan mereka akan meningkat apabila ramai daripada kalangan mereka menerima suntikan vaksin.

“Jakoa akan sentiasa bekerjasama dengan PKD bagi membolehkan mereka divaksin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jakoa negeri telah berbincang dengan PKD masing-masing supaya mereka yang bersetuju untuk mendapatkan vaksin diberi keutamaan terutama Tok Batin memandangkan mereka boleh dijadikan suri teladan bagi penduduk lain.

Pada 6 Jun lepas, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata seramai 127,669 masyarakat Orang Asli di seluruh negara dikenal pasti untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau juga berkata setakat ini Jakoa telah menerima sebanyak 39,174 borang pendaftaran daripada masyarakat Orang Asli yang bersetuju untuk menerima suntikan vaksin, namun kira-kira 25,215 individu Orang Asli dikenal pasti tidak bersetuju untuk menerima suntikan berkenaan.
-Bernama

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •