Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu Di Istana Negara | Malaysia News
August 6, 2021
Majlis Raja-Raja Melayu

Perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara

Kuala Lumpur, MTN – Sesi Perbincangan Khas yang mengambil masa lebih dua jam antara Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-raja Melayu kali kedua telah selesai kira-kira pukul 5 petang tadi.

Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam adalah yang terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada jam 11.03 pagi tadi.

Ia diikuti oleh keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 12.03 tengah hari, wakil raja perlis, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (1.58 petang) dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (2.08 petang).

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dilihat berangkat tiba pada 2.18 petang; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (2.20 petang) dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (2.33 petang).

Terakhir tiba ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dengan kenderaan rasmi yang membawanya dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 3.39 petang tadi.

Difahamkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak hadir dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada petang ini.

Sementara itu, antara ketua agensi kerajaan yang dilihat masuk melalui pintu utama Istana Negara ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah pada 1.43 petang; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang (1.56 petang) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (2.00 petang).

Advertisement

Pada Selasa, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Perbincangan Khas itu diadakan bagi menyembah maklum kepada Raja-Raja Melayu berkenaan pandangan dikemukakan oleh pemimpin politik negara.

Menurutnya, beberapa pakar dari agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu.

Media difahamkan Perbincangan Khas itu menyentuh mengenai isu situasi Covid-19, pembukaan Parlimen, penubuhan kerajaan perpaduan dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) serta jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Turut diperkenan masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu ialah Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon.

Kesemua mereka dijadual memasuki Pintu Dua Istana Negara antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •