Laungan 'Tangkap Azam Baki' Oleh Ratusan Penunjuk Perasaan | Malaysia News

Laungan ‘Tangkap Azam Baki’ oleh ratusan penunjuk perasaan

Lawan - Tangkap - Azam Baki

Laungan ‘Tangkap Azam Baki’ oleh ratusan penunjuk perasaan

Sebahagian besar jalan-jalan di Kuala Lumpur telah disekat pergerakan lalu lintas.

Laungan ‘Hidup Hidup! Tangkap Tangkap Azam Baki!’ mula dilaungkan oleh sekumpulan aktivis yang hadir dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini pada Sabtu.

Kumpulan yang diketuai aktivis, Adam Adli Abdul Halim itu mula hadir kira-kira jam 10.50 pagi.

Kumpulan itu turut membawa plakad bertulis ‘Lawan’ selain gambar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ini ketika pihak berkuasa cuba mengawal bantahan yang dirancang menuntut tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Penganjur bantahan berkumpul di stesen LRT Bangsar pada pukul 11 pagi hari ini.

11.45 pagi – Jalan Travers – Sekitar 150 penunjuk perasaan berarak dari Jalan Bangsar ke Jalan Travers, berjarak kira-kira 1km.

Antara yang ikut serta bantahan seorang wanita berusia 31 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Moori.

Katanya, keputusannya menyertai protes itu bertujuan untuk menuntut keadilan.

“Jika ada keadilan, kami tidak akan berada di sini, dan ia adalah masa yang sangat salah kerana keadaan wabak. Jika ada pilihan saya pasti akan memilih untuk tidak keluar.

“Saya di sini hanya kerana saya sedih dan bimbang dengan hala tuju negara kita. Ini (rasuah) perlu dihentikan,” katanya.

11.30 pagi – Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor bertemu dengan wakil penganjur perhimpunan Tarmizi Anuar.

Amihizam meminta perarakan oleh beberapa ratus penunjuk perasaan, sebahagian besarnya berbaju hitam, untuk berakhir di Brickfields.

Tarmizi bagaimanapun memohon agar mereka dibenarkan berpindah ke Masjid Negara.

11.00 pagi – Kira-kira 100 penunjuk perasaan berpakaian hitam berkumpul di bawah LRT Bangsar di tepi Menara UOA.

Sekumpulan pegawai polis berpakaian jaket polis kuning terang menghampiri penyelaras protes.

Mereka meminta maklumat peribadi penyelaras tetapi tidak menghalang perhimpunan berlangsung.

Mereka pergi selepas merekod maklumat mereka.

Pada masa lalu, polis menahan pemimpin protes hanya selepas protes berakhir untuk mengelakkan bantahan memuncak.

Salah seorang aktivis protes Mandeep Singh mula mengetuai penunjuk perasaan melaungkan slogan: “Tangkap Tangkap Azam Baki.”

Penunjuk perasaan mula memenuhi jalan utama di Jalan Bangsar.

10.50 pagi – Pihak polis membenarkan para pekerja masuk ke premis sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Pun begitu, mereka hanya dibenarkan berjalan kaki atau menaiki motosikal selepas Jalan Tuanku Abdul Rahman masih ditutup untuk kenderaan.

Terdahulu, polis menghalang orang ramai termasuk pekerja yang berkerja di Sogo, pusat beli belah Kompleks Pertama memasuki ke premis masing-masing.

Lebih 100 orang menunggu di depan Maju Junction sejak 9 pagi kini dibenarkan masuk.

10.40 pagi – Perniagaan dalam radius 1km dari Dataran Merdeka ditutup.

Menurut Astro Awani, mereka diarahkan tutup atas perintah mahkamah.

Semalam, polis memperoleh perintah mahkamah tujuh hari yang melarang bantahan di Dataran Merdeka, pusat beli-belah Sogo dan Masjid Jamek di Kuala Lumpur.

Ini selepas pihak berkuasa menjangkakan protes #TangkapAzamBaki akan berlangsung.

10.30 pagi – LRT Bangsar – Beberapa wakil penganjur perhimpunan ‘AJK Tangkap Azam Baki’ kelihatan di lokasi.

Sekatan jalan telah disediakan untuk mengalihkan trafik daripada masuk ke stesen LRT Bangsar tetapi tren tetap beroperasi.

Setakat ini, kehadiran polis tidak ramai dengan sebahagian besar kakitangan berpakaian biasa memantau lokasi.

Orang lain yang hadir setakat ini termasuk pemerhati daripada Majlis Peguam dan gabungan NGO Freedom of Expression Cluster.

Pegawai program Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Vinodh Pillai, mewakili Kluster FOE, berkata: “Kami berharap tiada kejadian tidak diingini hari ini.”

“Kami berharap pihak berkuasa akan melindungi dan mengekalkan kebebasan bersuara kami dalam perhimpunan ini. Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply