Liga SupaRimau – Kes Natxo tolak pengadil akan diputuskan secara adil

Liga SupaRimau – Kes Natxo tolak pengadil akan diputuskan secara adil
Petaling Jaya, MTN – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan kes pemain Johor Darul Tazim (JDT) Ignacio Insa Bohigues yang menolak pegawai perlawanan pada aksi Liga Super baru-baru ini akan diputuskan secara adil pada mesyuarat Jawatan kuasa Tata tertib badan induk itu, Khamis ini.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiada istilah pilih kasih dalam kes tersebut memandangkan jawatan kuasa tersebut dibarisi ahli jawatan kuasa berpengalaman dan profesional yang dipimpin pengerusinya Datuk Baljit Singh Sidhu.
Tidak perlu risau, saya yakin dengan kepimpinan Datuk Baljit dan barisan jawatan kuasa beliau kerana semua individu itu berwibawa. Keputusan akan dibuat secara adil, katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan saingan Liga SupaRimau di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.
Ignacio Insa atau dikenali sebagai Natxo Insa yang merupakan pemain berdarah campuran Malaysia-Sepanyol, bertindak menyerbu dan menolak pegawai perlawanan Noor Azriel Baharudin sejurus tamat aksi Liga Super menentang Perak pada 21 Mac lepas.
Namun, peminat mula mempertikaikan tempoh diambil FAM dalam menjatuhkan hukuman tatkala mesyuarat Jawatan kuasa Tatatertib FAM pada Rabu lepas telah menjatuhkan hukuman kepada beberapa pemain termasuk penyerang import Kelantan FC Jack Hindle yang didapati menolak pengadil secara agresif pada aksi Liga Premier.
Menyedari akan spekulasi berkaitan Natxo dan mutu pengadilan dalam kalangan peminat tempatan, Hamidin menegaskan FAM sentiasa memastikan tiada campur tangan pihak lain atau tangan ghaib mengganggu pegawai perlawanan ketika menjalankan tugas
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam menjelaskan kes melibatkan Natxo dibincangkan lebih cepat berbanding kes yang diputuskan sebelum ini.
Kalau kita tengok empat kes sebelum ini, kita mengambil masa dalam lingkungan 13 ke 18 hari sebelum dibincangkan dalam Jawatankuasa Tatatertib. Tetapi untuk kes Natxo, hanya 11 hari daripada insiden berlaku sebelum dibawa ke jawatankuasa itu.
Kes Natxo pun berlaku tiga hari sebelum persidangan pertama Jawatankuasa Tatatertib. Jadi kita perlu mengikut proses perundangan dan memberi ruang secukupnya kepada pemain untuk membela diri, katanya. -Bernama
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia