Lim Kit Siang: Adakah Mahathir Nak Kata Samy Vellu Tak Setia? | Malaysia News

Lim Kit Siang: Adakah Mahathir nak kata Samy Vellu tak setia?

Lim Kit Siang: Adakah Mahathir nak kata Samy Vellu tak setia?

Lim Kit Siang: Adakah Mahathir nak kata Samy Vellu tak setia?

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mengecam Dr Mahathir Mohamad atas kenyataannya berhubung kesetiaan masyarakat Cina dan India Malaysia.

Lim berkata dengan membuat kenyataan itu, Mahathir telah mengkhianati Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia yang diasaskannya suatu ketika dulu.

Dia turut mengingatkan Mahathir terhadap menteri bukan Melayu yang berkhidmat dalam kabinetnya iaitu bekas presiden MIC mendiang S Samy Vellu.

“Adakah dia cuba mengatakan Samy Vellu, yang ada dalam kabinetnya semasa pemerintahannya selama 22 tahun, sebagai tidak setia kepada Malaysia?” soal veteran DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Adakah Lee San Choon, Ling Liong Sik, Lee Kim Sai, Ting Chew Peh, Lim Ah Lek, Neo Yee Pan, Chong Hon Nyan, Chong Siang Sun, Ng Cheng Kiat, Richard Ho, Lim Keng Yaik, Paul Leong, Ong Kee Hui, Stephen Yong, Law Hieng Ding – yang semuanya pernah berkhidmat dalam kabinet Mahathir – tidak setia kepada Malaysia?” soalnya lagi.

Lim berkata satu lagi persoalan asas ialah jika Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia tidak lebih daripada satu penipuan.

Katanya lagi, sepanjang tempoh 22 tahun dan 22 bulan Mahathir mentadbir negara, dia tidak pernah membangkitkan soal kesetiaan.

Lim juga memetik ucapan Mahathir pada 1985: “Ada kerisauan dalam kalangan rakyat yang mereka akan terpaksa melupakan budaya, nilai, dan agama mereka. Perkara ini tidak boleh terjadi, kita percaya yang Bangsa Malaysia adalah jawapannya.”

Menurut Lim, jelas yang Mahathir menawarkan nasionalisme Melayu dan kepelbagaian kebudayaan sebagai asas pembinaan Bangsa Malaysia.

Katanya lagi, pada 1996 majalah Time pernah memetik Mahathir berhubung penamatan dasar asimilisasi dengan berkata: “Idea sebelum ini adalah rakyat patut menjadi 100 peratus Melayu untuk dikira sebagai rakyat Malaysia.

“Kita kini menerima yang negara ini adalah negara yang berbilang kaum. Kita patut membina jambatan dan bukannya cuba untuk menghapuskan sekatan yang memisahkan kita.

“Kita tidak berniat untuk mengubah semua orang Cina menjadi Islam, dan kita katakan kepada orang kita, orang Islam, ‘kita tidak akan memaksa orang untuk bertukar (masuk Islam)’.”

‘Perlu wawasan baru’

Lim juga mendakwa Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia adalah “kegagalan” kerana kesemua sembilan cabaran strategiknya gagal dicapai, khususnya untuk mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu.

“Malaysia tidak pernah berpecah-belah seperti kebelakangan ini, di mana kita ada lima orang perdana menteri dalam tempoh lima tahun, dan di mana isu-isu perkauman, keagamaan dan isu raja dieksploitasi sepenuhnya dengan bantuan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian di media sosial untuk memecah belah rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, seorang Menteri yang berkhidmat dalam tempoh 22 tahun pemerintahan Mahathir, iaitu Rafidah Aziz, menebus semula keadaan ini apabila dia menunjukkan yang Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia merangkumi asal-usul yang pelbagai semua rakyat Malaysia dan tidak ada keperluan untuk rakyat Malaysia mempersoalkan kesetiaan dan cinta kita semua terhadap negara,” katanya lagi.

Justeru, Lim berkata Malaysia kini memerlukan wawasan baru untuk menyatukan rakyatnya dan negara tiada masa untuk Mahathir yang didakwanya “taksub dengan masa lampau”.

“Rakyat Malaysia perlu mencari matlamat bersama kita untuk satu wawasan bersama pada masa hadapan,” katanya lagi. [MK]

 

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply