Mahathir: 'Saya Tiada Kroni, Tidak Pernah Beri Tekanan Pada Najib' | Malaysia News
February 23, 2024

Mahathir: ‘Saya tiada kroni, tidak pernah beri tekanan pada Najib’

Mahathir Mohamad - Najib Razak

Mahathir: ‘Saya tiada kroni, tidak pernah beri tekanan pada Najib’

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak memiliki kroni seperti yang sering dituduh segelintir pihak, sebaliknya, apa yang menjadi amalannya ialah memberi bantuan kepada mereka yang memiliki kebolehan.

Bahkan, tegas bekas Perdana Menteri itu, sepanjang mentadbir negara juga, sudah ramai usahawan yang dibantu beliau dan ada dalam kalangan golongan itu yang gagal menggunakan peluang yang ditawarkan.

Justeru, apa yang menghairankan Dr Mahathir ialah, golongan yang gagal itu tidak pula didakwa sebagai kroninya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan beliau memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Perdana Menteri keenam itu enggan menjaga ‘kroninya’.

Ini kerana, tegas Dr Mahathir, sekiranya mempunyai ‘kroni’ sendiri, beliau tidak memerlukan campur tangan Najib.

“Saya tiada kroni… saya ada orang yang berkebolehan saja. Saya tak tolong orang yang tiada kebolehan. Umpamanya, kalau kerajaan ada modal, kita nak bagi RM1 juta kepada orang, kalau bagi kepada orang yang tiada kebolehan, RM1 juta itu akan hilang.

“Sebab itu kalau kita nak bagi kontrak, kita nak tahu dulu orang itu boleh atau tidak boleh. Ia akan berasaskan kepada pencapaian mereka sebelumnya. Kalau mereka sudah tunjuk kebolehan, maka kita akan bantu supaya mereka berjaya.

“Tapi kalau kita dapati dia adalah daripada keluarga saya, anak saya, cucu saya, kalau mereka nak minta apa pun tak dapat,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini, pada Rabu.

Dr Mahathir turut membidas Najib yang berulang kali mendakwa anaknya jutawan, namun tidak pula menunjukkan sebarang bukti.

“Tunjukkan bukti seperti mana kita tunjuk bukti dalam mahkamah, Najib selewengkan duti kerajaan.

“Saya nak tengok bukti bahawa anak saya dapat bilion ringgit. Apa yang didakwa Najib ini cuma tuduhan palsu tapi ini bukanlah satu yang asing daripada Najib.

“Dia memang cakap bohong. Dia boleh curi duit, lepas itu dia kata curi duit tidak mengapa. Itulah Najib,” kata Dr Mahathir.

Najib sebelum ini ketika menjawab surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor mendakwa Pengerusi Pejuang itu pernah beberapa kali menarik sokongan terhadapnya kerana tidak menjaga kroninya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu sering memberi tekanan kepadanya untuk memberikan projek kepada kroninya ketika dia menjadi Perdana Menteri. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply