Masya ketepikan soal cinta demi mencari rezeki
Masya ketepikan soal cinta demi mencari rezeki
MTN – Penyanyi lagu Hapus, Masya Masyitah ketepikan soal cinta demi mencari rezeki untuk membahagiakan keluarga tersayang.
Kuala Lumpur, MTN – Memiliki pakej lengkap, bakat, kejelitaan dan pandai berbahasa Mandarin menjadikan penyanyi, Masya Masyitah, 21, berbeza ukiran dengan bintang ‘budak baru nak up’ (BBNU) yang lain.
Lebih istimewa, gadis kelahiran Kulim, Kedah itu pandai membuat biskut dan kuih tradisional yang enak hingga mampu dijadikan bisnes ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak tahun lalu.
Ia sekali gus memberi gambaran juara pertandingan bakat bertaraf antarabangsa, Yippi Star Quest 2020 itu layak dijadikan ‘calon menantu’ apabila tidak kekok ke dapur, sejak remaja lagi.
Hanya ketawa di hujung talian tatkala diusik sesuai dijadikan calon menantu, Masya mengakui, sudah dididik masuk dapur sejak di bangku sekolah. Malah, paling gemar mengadun kuih tradisional hasil tunjuk ajar ibunya, Zalilah Mat Nor, 52, selain banyak belajar menerusi laman YouTube.
Namun, katanya, ia bukanlah bermakna menunjuk-nunjuk kelebihan dirinya. Sebaliknya, merasakan satu kerugian besar jika tidak tahu buat kuih, bimbang tidak kenal kuih tradisi Melayu.
“Saya suka membantu ibu di dapur, tetapi ia bukanlah bermakna saya suka menunjuk atau mahu membuktikan layak dijadikan calon menantu atau isteri.
“Soal jodoh, lupakan sahaja… Banyak impian belum digapai, selain mencari rezeki dan membahagiakan keluarga menjadi keutamaan saya, buat masa ini.
“Bukan tiada keinginan merasai nikmat cinta dan dicintai, tetapi biarlah dahulu. Saya tidak pernah ralat menjauhi cinta kerana ada banyak perkara penting dalam hidup perlu diutamakan,” katanya kepada BH Online.
Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff berkata, ia bukanlah bermakna dirinya berlagak sombong dan ego menolak cinta lelaki.
“Saya percaya mencintai diri sendiri dan keluarga lebih utama. Saya tidak sesekali tertekan tak merasai nikmat percintaan biarpun sudah berusia 21 tahun. Tiada ‘boyfriend’, tak mengapalah…
“Bagi saya, soal cinta menjadi tangga terakhir. Mungkin ada beranggapan saya sepatutnya diulit bahagia dengan rasa cinta. Saya berfikiran sebaliknya apabila berhak menentukan apa yang mahu dicapai terlebih dahulu.
“Saya tidak kisah bekerja keras demi keluarga. Jika jodoh datang lambat sekalipun, ia bukan satu tekanan. Saya ‘enjoy’ meneruskan legasi seni, selain sedang mengukuhkan perniagaan menjual aneka biskut, Delici by Masya pada era pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Penyanyi yang pernah merangkul Anugerah Muzik Asia bagi kategori Artis Muda Paling Berpotensi yang berlangsung di Shenzhen, China pada 2019 itu berkata, dia berazam mahu mengumpul aset pada usia muda.
“Alhamdulillah, apa yang dikejar membuahkan hasil berkat usaha dan kesabaran, selama ini. Kini, saya memiliki kondominium bernilai RM300,000 di Puchong yang dibeli secara tunai, dua tahun lalu.
“Saya juga bersyukur dapat membeli kediaman kedua, Semi-Detached (Semi-D) tiga setengah tingkat di Kajang, penghujung tahun lalu. Kediaman ini dibeli dengan duit kemenangan RM160,000 sebagai juara Yippi Star Quest 2020.
“Sudah lama saya impikan membeli kediaman selesa untuk menyatukan keluarga yang terpisah jauh antara Kuala Lumpur dan Kulim,” katanya.
Juara program Ceria Popstar pada 2014 itu berkata, ia juga persediaan membawa bapa, dua abang dan adiknya untuk tinggal bersama di Kajang selepas bapanya bersara, dua tahun lagi.
“Ayah berusia 58 tahun, jadi akan pencen tidak lama lagi. Jika tiada halangan, saya dan keluarga akan berpindah ke kediaman baharu, penghujung tahun ini.
“Sekarang, kediaman masih dalam proses pengubahsuaian. Banyak urusan tergendala berikutan sekatan pergerakan penuh hingga Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.
“Saya bahagia melihat keluarga menikmati kesenangan bersama. Keluarga terlalu banyak berkorban untuk saya.
“Bayangkan, ibu dan ayah hidup terpisah selama beberapa tahun. Ibu terpaksa menemani saya di Kuala Lumpur, ayah pula menguruskan adik beradik lain di Kulim. Jadi, tidak salah saya bekerja keras demi keluarga,” katanya yang tidak terfikir menjual kediaman di Puchong, mahu dijadikan aset.
Pernah menjadi sasaran kecaman netizen berikutan dakwaan merentas negeri, penyanyi lagu Hapus dan Halimunan itu berkata, dia dan ibunya sudah tidak larat tinggal berjauhan dengan bapa serta adik beradik di Kulim terutama dalam krisis COVID-19 masih berpanjangan.
Sebelum ini, kisah Masya mencuri perhatian netizen mempertikaikan kebenaran rentas negeri atas kapasiti pasangan jarak jauh membabitkan ibu bapanya.
Bagaimanapun, isu berkenaan selesai apabila Masya dan ibunya dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada 16 Mei lalu.
“Isu merentas negeri ini juga membuatkan saya tidak sabar menyatukan keluarga. Kesilapan saya bercerita kisah pulang beraya di kampung. Jadi, ia menjadi iktibar dan pengajaran berguna.
“Saya akui, kurang sensitif dengan situasi semasa apabila ramai berjauhan dengan keluarga apabila larangan merentas negeri dikuatkuasakan sehingga hari ini,” katanya.
Mengulas perkembangan terbaharu, Masya baru melancarkan single solo pertama dalam bahasa Mandarin berjudul Jiu Meng Xin Su. Karya istimewa itu ciptaan komposer dan penulis lirik, Kai Kai dengan kerjasama produser terkenal, Ong Peng Chu dalam genre slow rock.
Masya bersyukur syarikat rakaman, Rocketfuel Entertainment memberikannya peluang menghasilkan single diimpikan, malah sedang dalam misi membawanya menembusi pasaran Hong Kong, Taiwan, China dan seluruh Asia dalam masa terdekat ini.
“Saya akui, single Jiu Meng Xin Su menjadi pertaruhan untuk ‘menjual’ saya di pasaran Asia. Misi ini hasil kolaborasi Rocketfuel Entertainment dan Universal Music menerusi platform digital.
“Cuma, peluang saya mempromosikan single ke luar negara tertangguh disebabkan COVID-19. Insya-Allah, saya berhasrat dapat peluang menjelajah seluruh Asia apabila pandemik berakhir,” katanya.
Single Jiu Meng Xin Su juga membuktikan naib juara Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong pada 2016 itu tidak mempersia-siakan kebolehannya bertutur dan fasih dalam bahasa Mandarin.
Malah, ramai memuji sebutan Masya dalam bahasa Mandarin sangat baik. Sebelum ini, single sama pernah dirakamkan dalam versi bahasa Melayu, manakala liriknya diubah oleh Siso Kopratasa dan dijangka menemui pendengar, tidak lama lagi.
“Single ini sudah lama diperdengarkan kepada saya, cuma ia dirakamkan pada November, tahun lalu. Melodi single ini masih bercita rasa Melayu.
“Karya ini mengisahkan pasangan kekasih yang sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan. Namun, malangnya mereka berpisah dengan pengakhiran menyayat hati. Bagaimanapun, ia bukanlah kisah cinta saya,” katanya yang menyemat impian berduet dengan penyanyi terkenal dari Taiwan, Jay Chou biarpun sedar sukar menjadi kenyataan. [MG]