Siti Elizad, Shima Anuar bantu keluarga terhimpit
Siti Elizad, Shima Anuar bantu keluarga terhimpit
Kuala Lumpur, MTN – Prihatin atas nasib menimpa golongan tidak bernasib baik, pelakon, Siti Elizad Sharifuddin dan keluarga tidak bertangguh menghulurkan bantuan kepada rakyat sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penyampai radio Sinar FM itu mengaku hatinya tersentuh melihat ibu beranak kecil.
“Saya suka kanak-kanak. Jika melihat ada keluarga yang memiliki anak kecil menghadapi kesusahan, hati saya terusik.
“Apatah lagi ada yang mengadu tidak cukup ‘makan pakai’, saya jadi hiba. Siapa tahu, ini mungkin jadi asbab untuk saya memiliki anak sendiri,” katanya kepada BH Online.
Siti Elizad berkata, selain mengagihkan pek barangan dapur, dia turut menghulurkan sumbangan wang melalui transaksi bank.
“Ada yang menghantar mesej langsung atau DM dan saya masukkan wang ke dalam akaun mereka.
“Ada juga yang meminta bantuan susu dan lampin pakai buang dan saya depositkan wang,” katanya yang turut membuat semakan bagi mengelak kemungkinan permintaan dilakukan ‘scammer’.
Sementara itu, pelakon Shima Anuar menjual koleksi palazzo bagi mengumpul dana membantu golongan memerlukan atas nama projek, Rakyat Jaga Rakyat By Shima Anuar.
Shima menyasarkan membantu sekurang-kurangnya 32 keluarga yang berdepan kesulitan hidup.
“Pada mulanya saya merancang mengagihkan sumbangan makanan dan barangan keperluan. Namun, disebabkan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), saya ambil pendekatan memberi wang tunai sahaja.
“Saya beri RM100 kepada setiap keluarga. Kebanyakan daripada mereka memerlukan wang untuk membeli susu,” katanya.
Shima berkata, pembeli palazzo beroleh keberkatan kerana hasil jualan disalurkan untuk membantu keluarga memerlukan. [BH]