Mat Sabu Mengecam Layanan 'menghina' Terhadap Pembangkang | Malaysia News
April 13, 2021

Mat Sabu mengecam layanan ‘menghina’ terhadap Pembangkang

MTN – Presiden Amanah Mohamad Sabu mengecam apa yang didakwanya sebagai layanan “menghina” oleh pegawai Parlimen terhadap pembangkang.

Mohamad mendakwa tiada seorang pun pegawai Parlimen yang hadir untuk menyambut Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang mempengerusikan pertemuan dengan ahli Parlimen pembangkang hari ini.

Dia juga mendakwa pembangkang diberikan dewan yang tidak dapat menampung jumlah ahli Parlimen yang hadir, menyebabkan sukar untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pertemuan tersebut dilihat langkah simbolik oleh pembangkang di tengah-tengah keengganan kerajaan membatalkan penggantungan Parlimen ketika darurat.

“Semasa saya bersama Anwar dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bertemu Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun (pada 4 Mac), layanannya agak baik dan dia berjanji secara verbal untuk membantu pembangkang mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen.

“Tetapi pada hari ini apabila ketua pembangkang yang mengetuai ahli-ahli parlimen pembangkang hadir ke Parlimen untuk mengadakan pertemuan dan taklimat, (Anwar) telah diperlakukan tindakan yang agak menghinakan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata kedudukan ketua pembangkang perlu dihormati.

” Ini bukan soal Anwar atau pengerusi PH tetapi dia adalah ketua pembangkang dan yang hadir adalah ahli-ahli parlimen yang perlu dihormati dalam proses demokrasi,” katanya lagi.

Advertisement

Terdahulu, Anwar turut berkata dia telah meminta dewan yang lebih besar bagi memudahkan pematuhan SOP.

“Saya minta ruang yang agak baik sedikit (seperti) dewan makan yang luas kerana ramai yang hadir, tetapi speaker hanya beri bilik yang kecil.

“Itu yang sesak sedikit walaupun kita nak patuh SOP,” katanya.

Dalam pertemuan itu, kata Anwar, mereka membincangkan soal program imunisasi kerajaan dan peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Selain itu isu ekonomi, isu semasa dan gesaan agar Parlimen kembali bersidang turut dibincangkan, katanya lagi.

“Pertemuan juga sentuh soal ekonomi, isu semasa dan gesaan agar penggantungan Parlimen dibatalkan

Pertemuan itu berakhir dengan ahli Parlimen pembangkang mengangkat sepanduk menggesa darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang.

Berkuatkuasa sejak 11 Januari, kerajaan berkata darurat diisytihar bagi melawan wabak Covid-19. Bagaimanapun sejumlah pihak mendakwa ia antara usaha Perikatan Nasional (PN) untuk terus mengekalkan kuasa. [mk]

Hari ini Ahli-ahli Parlimen pembangkang sepakat menggesa pemerintah memanggil Sidang Parlimen sesegera mungkin dan untuk #TamatDarurat.

Posted by Anwar Ibrahim on Sunday, March 21, 2021

 

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •