Memang Betul Mahathir Nak Pecat Yeo Bee Yin | Malaysia News

Memang betul Mahathir nak pecat Yeo Bee Yin

Memang betul Mahathir nak pecat Yeo Bee Yin

MTN – Memetik salah satu bab dalam buku terbaru Liew Chin Tong yang mendedahkan mengenai hasrat Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Yeo Bee Yin daripada jawatannya sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ekoran isu Lynas pada 2019.

Saya tidak pernah terlibat dengan perkara itu, namun saya telah diberitahu mengenainya.

Kejadian tersebut menyerlahkan kerumitan yang dialami dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Mahathir ketika itu.

Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa PH perlu mengambil iktibar daripada pengalaman mentadbir Putrajaya selama 22 bulan sebelum ia digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton untuk menubuhkan sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak demokratik, tidak sah dan merupakan sebuah kakistokrasi.

Salah satu iktibar yang perlu dihayati oleh PH ialah tentang janji yang dibuat semasa pilihan raya.

Kita menawarkan Buku Harapan sebagai janji-janji pilihan raya yang dibuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Pada peringkat awal pentadbiran PH lagi Mahathir telah mengatakan bahawa manifesto itu bukanlah kitab suci.

Kesannya, jika PH berjaya menunaikan 80 peratus atau 90 peratus daripada janji-janji pilihan raya dalam tempoh lima tahun sekali pun, rakyat tetap akan sukar untuk mempercayainya.

Lebih buruk lagi apabila mandat selama lima tahun yang diberikan rakyat kepada PH untuk menjadi kerajaan dirampas melalui konspirasi Langkah Sheraton.

Kerajaan PH bukanlah sebuah kerajaan DAP, sebaliknya kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama erat empat buah parti politik iaitu DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.

Harus Bersikap Realistik

Seperti yang dinukilkan Chin Tong di dalam bukunya itu, saya bertemu Mahathir sebanyak dua kali semasa beliau menjadi perdana menteri.

Dalam pertemuan itu saya membincangkan mengenai kepentingan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat dan merangka penjelasan yang dipersetujui bersama berkenaan manifesto serta dasar-dasar PH.

Selepas pertemuan kedua, PH menubuhkan jawatankuasa khas semakan janji manifesto dengan Liew sebagai pengerusinya. Badan itu bertujuan untuk menangani masalah persepsi awam berhubung janji-janji pilihan raya yang kononnya tidak ditunaikan.

Malangnya, kerajaan PH digulingkan sebelum jawatankuasa tersebut dapat menyiapkan laporan mereka.

Inilah sebabnya mengapa saya tidak faham sikap sesetengah pihak yang enggan mendengar penjelasan mengapa janji-janji pilihan raya yang tertentu tidak dapat ditunaikan.

Sebagai contoh, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Janji PRU14 berkenaan UEC yang termaktub dalam Buku Harapan menyatakan: “PH akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.”

Semasa pemukiman DAP pada 2019, Mahathir ketika itu berkata kerajaan PH komited untuk menunaikan janji mengiktiraf sijil EUC. Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menyatakan komitmen yang sama.

Kini mustahil untuk PH melaksanakan janji tersebut selepas digulingkan konspirasi Langkah Sheraton.

Justeru Ada penyokong yang mahu DAP kembali ke masa lampau dan hanya menjadi parti pembangkang semula.

Saya telah menjadi pembangkang selama 52 tahun dan saya tidak sedikit pun gentar untuk kembali duduk di kerusi pembangkang. Pun begitu, kita harus mempunyai matlamat untuk kembali membentuk kerajaan kerana hanya dengan kuasa segala pembaharuan dan reformasi dapat dilaksanakan.

Namun kita harus bersikap realistik. Kita perlu bekerjasama dengan pemimpin politik yang sehaluan dengan kita, yang bersama ingin mengejar Impian Malaysia untuk menjadikan negara ini bertaraf dunia suatu kenyataan.

Hal itu kerana DAP tidak akan mampu untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Pemimpin DAP tidak harus termakan dengan godaan kuasa, tidak kira semasa menjadi kerajaan atau pembangkang.

Dan sepanjang 55 tahun sejarah DAP, pemimpin parti ini tidak pernah sekalipun mengingkari prinsip keramat ini. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply