MP PH: ‘Hina parlimen jika tangguh undi 18’
MP PH: ‘Hina parlimen jika tangguh undi 18’
MTN – Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan supaya undi 18 diteruskan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandang ia diluluskan secara sebulat suara di Parlimen.
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata ia sejajar dengan usaha penambahbaikan demokrasi di negara ini.
“Undi 18 mesti diteruskan. Jangan jadikan kesempurnaan musuh kebaikan. Jangan jadi anak muda yang merasa gelas telah penuh sampai tak boleh dituang air baru.
“Jangan jadi anak muda yang tekonya kosong. Tak ada apa air boleh dituang daripadanya.
“Kita hanya mungkin tahu banyak perkara baru jika berani meneroka. Susah, tapi manfaatnya akan lebih dirasakan generasi kemudian,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Perkara 119) diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
Pada Oktober 2019, menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, mendiang Liew Vui Keong dilapor berkata penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Katanya, selepas dikuatkuasakan pada tarikh ditetapkan kelak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib memastikan setiap warganegara yang mencapai usia 18 tahun dan tidak hilang kelayakan didaftarkan sebagai pemilih dan layak mengundi pada PRU-15.
Dalam pada itu Noor Amin berkata generasi muda hari ini walaupun baru peringkat menengah atas, ilmu pengetahuan dan pendedahan mereka jauh lebih besar dan luas berbanding dulu.
“Cuma ya, masih perlu diasuh dan diasah. Ilmu ini sifatnya berkembang. Yang berusia juga mesti terus belajar,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, berkata sebarang percubaan menangguhkan undi 18 adalah penghinaan parlimen dan perlembagaan.
“Ingat, parlimen telah luluskan pindaan perlembagaan sebulat suara.
“Undi 18 adalah janji Manifesto PH yang menjanjikan reformasi demokrasi dengan memberi suara kepada anak muda menentukan masa depan negara.
“Undi 18 adalah satu kejayaan bi-partisan dalam parlimen dan satu kejayaan bersejarah kerana tak pernah ada pindaan perlembagaan mendapat sokongan sebulat suara,” tulisnya di Facebook.
Katanya lagi, undi 18 sejajar dengan perkembangan demokrasi dunia, memberi kuasa undi kepada golongan anak muda.
Di rantau Asia katanya, Malaysia antara beberapa negara terakhir yang memberi kuasa tersebut kepada rakyat.
[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalDecember 6, 2024Banjir beransur pulih di tujuh negeri
- Seni & HiburanNovember 14, 2024Siti Nurhaliza dinobat Biduanita Negara – ASN 2024
- NationalNovember 14, 2024Pendedah maklumat utus surat terbuka pada YDPA
- NationalJuly 4, 2024Kuala Lumpur Fashion Week 2024 – Taman KLCC