MP PKR Gesa Parlimen Siasat Dakwaan Pemilikan Saham RM2 Juta Bos SPRM | Malaysia News

MP PKR gesa parlimen siasat dakwaan pemilikan saham RM2 juta Bos SPRM

Azam Baki - Ketua Pesuruhjaya SPRM

MP PKR gesa parlimen siasat dakwaan pemilikan saham RM2 juta Bos SPRM

Sekumpulan ahli parlimen PKR menggesa pasukan penyiasat bebas merentas parti dan Jawatankuasa Terpilih ditubuhkan segera untuk menyiasat dakwaan pemilikan saham kira-kira RM2 juta membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam syarikat senaraian awam.

Mereka berkata, Prof Dr Terence Gomez mengambil pendirian berprinsip apabila meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kegagalan pengerusi panel berkenaan, Borhan Dolah mengambil tindakan terhadap dakwaan berkenaan.

“Kami berpendapat bahawa parlimen harus terlibat.

“Kami mencadangkan, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan terhadap Matlamat SDG 16 mengenai Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh, satu pasukan penyiasat bebas merentas parti dan menggunakan Jawatankuasa Terpilih ditubuhkan segera untuk menyiasat dakwaan tersebut,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh R Sivarasa (Sungai Buloh), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang).

Kata mereka siasatan harus merangkumi beberapa perkara, antaranya pendedahan penuh tentang semua aset Azam Baki termasuk yang dimiliki oleh isterinya, anak-anak dan saudara maranya.

Selain itu, katanya, jawatankuasa terpilih itu perlu mencadangkan agar Azam Baki mengambil cuti bagi memudahkan siasatan dan tindakan segera bagi menangani dakwaan tersebut bagi membersihkan nama baik SPRM, sekiranya ia terbukti tidak benar.

“(Jawatankuasa terpilih juga perlu) Mencadangkan undang-undang, dasar, SOP, dan prosedur semak dan imbang untuk mengukuhkan SPRM dan meningkatkan kesedaran di kalangan kakitangannya di semua peringkat tentang keperluan untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa, secara dalaman dan luaran,” katanya.

Selain itu mereka juga menggesa pihak polis memulakan siasatan sekiranya panel pemantau SPRM terus enggan menjalankan siasatan terhadap dakwaan terbabit.

Malaysiakini telah mengubungi Azam untuk mendapatkan respons.

Pada 27 Dis lalu, Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli panel SPRM dengan mendakwa Borhan tidak menjawab permintaannya supaya panel berkenaan mengadakan mesyuarat berhubung dakwaan terhadap Azam.

Dia juga menulis surat kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Abu Zahar Nika Ujang sebanyak tiga kali, mencadangkan dia menghadiri lembaga penasihat untuk membentangkan laporan.

Pada masa ini, terdapat sepuluh jawatankuasa pilihan khas di Dewan Rakyat.

SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi- Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS). [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply