Muhyiddin Akhirnya Akan Berundur Sebagai Perdana Menteri | Malaysia News
Hassan Karim

Muhyiddin akhirnya akan berundur sebagai Perdana Menteri

MTN – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim percaya Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya akan berundur sebagai Perdana Menteri kerana beliau bukan seorang pemimpin yang mahu menjadi diktator.

Ini kerana kata Hassan, Muhyiddin yang sebenarnya merupakan pemimpin dengan peribadi baik dan berhemah akan menerima hakikat bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai keabsahan sebagai Perdana Menteri.

“Soal keabsahan dirinya sebagai Perdana Menteri menghantuinya setiap hari. Saya percaya pada saat ini Muhyiddin Yassin tahu dia sudah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat. Dia tahu Istana tidak lagi menyebelahinya.

“Dia insaf, parti UMNO yang jadi salah satu tiang seri menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya telah menarik balik sokongannya. Muhyiddin juga tahu jumlah ahli Parlimen di blok pembangkang mengatasi jumlah yang dimiliki blok kerajaan.

“Dalam persimpangan membuat keputusan ini, Muhyiddin sebagai pemimipin kerajaan awam menyedari keabsahan dirinya dan kerajaannya amatlah penting,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hassan berkata, Muhyiddin sebagai anak kepada seorang tokoh agama tentu sahaja merasa tidak senang jika mula dipanggil Perdana Menteri haram dan kerajaan PN juga mula dipanggil kerajaan haram.

Katanya, Perdana Menteri tidak perlu menunggu sehingga sehingga ujian undi percaya di Dewan Rakyat dilakukan yang akan menyaksikan Ahli Parlimen Pagoh itu tewas dengan aib, justeru diharapkan situasi itu dapat dielakkan.

Sehubungan itu katanya, Muhyiddin perlu mengambil jalan mulia dan terhormat dengan mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri dan tindakan itu akan dihormati semua pihak yang inginkan perubahan politik aman.

Menurutnya, tumpuan pemimpin negara akan diberikan kepada usaha keras memerangi wabak Covid-19 serta membantu kehidupan rakyat dan penyusunan semula serta pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan kepimpinan politik yang berkesan dan berwibawa.

“Rakyat tidak mahu krisis perlembagaan yang berpanjangan. Rakyat tidak mahu pilihan raya umum dalam waktu wabak penyakit Covid-19 ini yang semakin serius,” katanya. [AA]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •