Mukhriz Mahathir: PN itu tidak berdaftar dan Umno tidak sudi sertai Perikatan Nasional
Mukhriz Mahathir: PN itu tidak berdaftar dan Umno tidak sudi sertai Perikatan Nasional
‘Setujukah Mufakat Nasional angkat Muhyiddin sebagai Pengerusi Gabungan?’
Mukhriz Mahathir mempersoalkan langkah bekas partinya ingin menyertai Muafakat Nasional (MN).
Bekas timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan keputusan bekas partinya untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) sebagai perkara yang luar biasa.
Bagi bekas menteri besar Kedah itu, amalan yang biasa diamalkan adalah Perdana Menteri menjadi pengerusi kepada gabungan politik yang terbesar.
Menyifatkan langkah itu sebagai “Luar Biasa” Mukhriz menyorot bahawa perdana menteri selalunya merupakan pengerusi kepada gabungan terbesar.
“Hari ini diberitahu pula Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili BERSATU sebagai presiden bersetuju menyertai MN. Jadi ini satu perkara yang luar biasa kerana biasanya Perdana Menteri itu, pengerusi kepada gabungan yang terbesar.
“Tetapi saya tak tahu adakah MN akan setuju mengangkat beliau (Muhyiddin Yassin) sebagai Pengerusi MN kerana Bersatu adalah adik bongsu dalam MN jika diterima masuk,” katanya.
Terdahulu ketika merasmikan serentak persidangan Armada, Srikandi dan bahagian Bersatu seluruh negara, Muhyiddin mengumumkan parti itu akan memuktamadkan penyertaannya dalam Muafakat Nasional.
Dalam rakaman ucapan yang ditujukan buat ahli Bersatu, Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.
“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai Gabungan Besar atau The Grand Coalition.
“InsyaAllah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya
Sementara itu Mukhriz berkata, beliau tidak pasti apakah impak yang berlaku kepada politik negara terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika Bersatu diterima menyertai MN.
“Selama ini kita diberitahu bahawa perdana menteri ingin menubuhkan Perikatan Nasional (PN) malah setiap kali disebut di parlimen, semua Ahli Parlimen mewakili kerajaan menggelarkan diri mereka sebagai kerajaan PN.
“Pada masa sama kita tahu PN itu tidak berdaftar dan terbaru kita dengar Umno tidak sudi sertai Perikatan Nasional manakala, PAS, saya tak pasti (apa pendirian mereka),” katanya.