Mukhriz perlu sedar apabila Mahathir mungkir janji kepada Anwar
Mukhriz perlu sedar apabila Mahathir mungkir janji kepada Anwar
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim bukan lagi calon untuk menjadi perdana menteri.
“Saya rasa masanya sudah berlalu. Saya fikir ramai yang telah menyatakan demikian dalam PH sendiri.
“Sudah tiba masanya untuk kumpulan baru mengambil alih,” kata Mukhriz kepada BFM dalam satu temu bual.
Mukhriz berkata demikian ketika ditanya jika dirinya mempunyai “sebarang isu” dengan Anwar sebagai calon perdana menteri selepas dia berkata bahawa Pejuang tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH.
Ketika ditanya jika dirinya mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri, Mukhriz berkata: “Saya mesti bersedia untuk sebarang kemungkinan.”
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengulas bahawa adalah hak Mukhriz Mahathir untuk bercakap bahawa masa Anwar Ibrahim sudah berlalu dan Pakatan Harapan (PH) perlukan pemimpin baru.
Maka penulis ini pun ada hak yang sama untuk mengulas komen Mukhriz Mahathir itu.
Masyarakat kita dan negara Malaysia ini bersikap terbuka.
Cuma Mukhriz Mahathir elok juga menyedari betapa ramai rakyat biasa sama ada anggota PKR atau bukan, penyokong PH atau bukan yang terluka di hati apabila ayahanda kepada Mukhriz bersikap mungkir janji kerana enggan melepaskan jawatan perdana menteri yang telah dijanjikan kepada Anwar Ibrahim.
Cakaplah apa jua yang Mukhriz Mahathir mahu cakapkan untuk memperkecil dan memperlekeh Anwar Ibrahim, sebab Anwar Ibrahim berjiwa besar untuk terganggu dengan kata-kata yang Mukhriz lontarkan itu.
Tetapi penulis kerdil ini tidak akan membiarkan pemimpinnya yang telah berkorban untuk rakyat dan negara meringkuk di dalam penjara lebih 11 tahun lamanya diperkotak-katik oleh seorang ahli politik muda anak bangsawan yang tidak pernah semalam pun meringkuk dalam lokap kerana berani bersuara untuk rakyat.
Namun begitu penulis masih memberi peluang dan hak Mukhriz, yang merupakan presiden Pejuang yang hanya ada empat ahli parlimen di seluruh negara, mempersenda dan memperkecil kekuatan sokongan Anwar Ibrahim yang mempunyai lebih 30 ahli parlimen PKR dan lebih 90 ahli parlimen PH keseluruhannya.
Selemah-lemah Anwar Ibrahim yang dikatakan oleh Mukhriz Mahathir bahawa masanya sudah berlalu, hari ini dia masih menjadi presiden PKR, pengerusi PH dan ketua pembangkang di Parlimen.
Manakala sehebat-hebat Mukhriz anak bangsawan ini, dia tidak dapat menyembunyikan fakta sejarah bahawa dua kali dia dijatuhkan sebagai menteri besar Kedah di pertengahan jalan.
Tak pernah Mukhriz Mahathir pegang jawatan MB Kedah dari awal hingga ke akhir macam para menteri besar yang lain.
Penulis bukan suka sangat hendak menulis cerita-cerita seperti ini.Tetapi apabila Mukhriz Mahathir berani bersuara celupar dan kurang adab, maka dia perlu menerima ulasan seperti ini.
Tangan yang berani menghunus keris maka perlu bersedia untuk tertikam dengan senjata sendiri.
HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.