Nabila Razali - Status Isteri Bawa Tanggungjawab Lebih Besar | Malaysia News

Nabila Razali – Status isteri bawa tanggungjawab lebih besar

Nabila Razali

Nabila Razali – Status isteri bawa tanggungjawab lebih besar

Aidilfitri sering mengingatkan penyanyi dan pelakon Nabila Razali untuk melakukan pengorbanan sesuatu yang berharga demi kepentingan lebih besar.

Nabila berkata, pengorbanan yang diberikan selepas dia sah bergelar isteri usahawan Nik Iruwan Nik Izani sejak 18 Nov tahun lalu begitu besar makna buatnya.

“Ia bukan sekadar berkorban demi orang lain, tapi pengorbanan itu sebenarnya untuk kita mendapat yang lebih baik.

“Apabila saya sudah berkahwin, saya perlu korbankan sedikit waktu kerja supaya boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.

Namun, Nabila, 31, berkata pengorbanan itu amat berbeza jika dibandingkan sebelum dia bergelar isteri.

Katanya, jika dulu dia terpaksa mengorbankan banyak masa kerana pekerjaannya.

“Tapi apa pun, pengorbanan saya tidak boleh dibandingkan dengan orang lain, masing-masing ada tahap pengorbanan tersendiri: ada besar, ada kecil.

“Untuk saya, setakat ini alhamdulillah, apa yang saya mampu saja,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman drama terbaru lakonannya, Bawah Payung Awan di Tropicana Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Drama bersiri 30 episod siaran penstriman Viu itu diarahkan Azri Izhar dan akan bersiaran Khamis hingga Sabtu bermula 13 Jun ini.

Selain Nabila, turut menjayakan Bawah Payung Awan ialah pelakon seperti Ben Amir, Nelissa Nizam, Riz Amin dan Muaz Zabir.

Karya itu merupakan adaptasi kedua dari novel tulisan Liza Nur berkisahkan hubungan tiga sekawan iaitu Widad (Nabila Razali), Soleiman (Ben Amir) dan Hanan (Nelissa Nizam) yang dibesarkan di sebuah kawasan setinggan dan menjadi sarang penjenayah.

Di kawasan setinggan sebenar

Selain berlakon, Nabila juga turut menyanyikan runut bunyi drama Bawah Payung Awan berjudul Tangis yang dihasilkan oleh penyanyi dan komposer Naim Daniel.

Ditanya mengenai sambutan Aidiladha kali ini, Nabila berkata, ia merupakan tahun pertama dia menyambutnya dengan suami.

Menurutnya, sama seperti sambutan Aidilfitri baru-baru ini, dia juga akan mengikuti suaminya pulang ke kampung halaman di Kelantan.

“Ada ramai yang cakap dengan saya sambutan Aidiladha lebih meriah di Pantai Timur,” katanya yang teruja menyambut perayaan itu nanti.

Bagaimanapun, kata Nabila, dia dan suami belum berkesempatan untuk melakukan ibadah korban pada tahun ini.

Berkongsi pembabitannya dalam Bawah Payung Awan, Nabila berkata dia buat pertama kali bergandingan dengan Ben Amir dan Nelissa.

“Rasa teruja kerana saya masih diberi kepercayaan untuk bawa watak gadis berusia 17 tahun sedangkan hakikatnya usia saya lebih dari itu.

“Selain jalan cerita berbeza, kami jalani penggambaran di kawasan setinggan sebenar dan watak saya sebagai Widad ada cabaran yang memerlukan saya banyak menangis dan beremosi.

“Sebab penghayatan emosi Widad yang berat, saya sering terbawa-bawa karakter itu di luar set penggambaran sampai ditegur pembantu peribadi dan suami,” katanya. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply