Najib Razak: Anak Saya Tak Pernah Kerja Di Goldman Sachs | Malaysia News

Najib Razak: Anak saya tak pernah kerja di Goldman Sachs

Najib Razak

Najib Razak: Anak saya tak pernah kerja di Goldman Sachs

Bekas perdana menteri Najib Razak menjelaskan yang anak-anaknya tidak pernah bekerja di Goldman Sachs.

Najib berkata, laporan media tempatan memberikan bayangan dia disogok oleh Goldman Sachs dengan tawaran kerja untuk anak-anaknya di bank pelaburan Amerika Syarikat itu.

Laporan media adalah berasaskan keterangan bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner sebagai saksi pendakwaan ke atas bekas pekerja bawahannya, Roger Ng yang merupakan warga Malaysia.

Kata Najib, anak-anaknya tidak pernah menerima tawaran pekerjaan seperti yang didakwa itu.

“Namun ini tidak berlaku dan tiada seorang pun anak saya pernah ditawarkan pekerjaan di Goldman Sachs dan tidak pernah bekerja di bank Amerika Syarikat itu.

“Itupun tawaran untuk bekerja, ya – bukan tawaran diberi projek-projek ataupun suapan wang,” tulis Najib di Facebooknya.

Tiada seorang anak saya pernah ditawarkan untuk bekerja ataupun bekerja di Goldman Sachs.

Walaupun tajuk berita…

Posted by Najib Razak on Tuesday, February 22, 2022

 

Leissner memberitahu mahkamah, dia dimaklumkan oleh Jho Low menerusi emel bahawa tiga anak Najib sedang mencari kerja di Goldman Sachs.

Leissner berkata dia menyokong permintaan Jho Low itu memandangkan Najib, yang pada ketika itu perdana menteri, adalah individu penting buat Goldman Sachs.

“Sekali lagi, buat Goldman, perniagaan Malaysia sudah tentu merupakan salah satu yang terbaik di Asia Tenggara, bahkan di seluruh Asia.

“Jadi saya fikir, mengambil anak-anak perdana menteri bekerja dengan kami, berpotensi untuk dilihat secara positif bukan sahaja oleh perdana menteri, tetapi juga untuk semua pelanggan kami di negara itu akan tahu mengenainya dan melihat bahawa kami ada hubungan baik,” katanya.

Berdasarkan transkrip mahkamah, Leissner tidak menyatakan bahawa tiga anak Najib mendapat pekerjaan dengan Goldman Sachs.

Pun begitu, Najib mengaku yang Leissner memperkenalkan anak perempuannya Nooryana kepada TPG Capital di Hong Kong sebagai seorang profesional perhubungan pelabur.

“Anak saya memang pernah bekerja selama setahun sahaja dengan jawatan junior di situ,” kata Najib.

Nooryana merupakan satu-satunya anak Najib yang disebut dalam transkrip mahkamah.

Leissner berkata dia menerima emel daripada Jho Low pada 27 Jun 2011. Jho Low menulis yang Nooryana meminta peluang untuk dipertimbangkan bekerja selama setahun di Goldman Sachs.

Leissner memberitahu mahkamah, dia merujuk hal itu kepada jabatan hal ehwal kerajaan Goldman Sachs memandangkan sensitiviti berhubung pengambilan pekerja yang mempunyai hubungan kerajaan.

Katanya, jabatan itu tidak menyokong pengambilan Nooryana dan dia tidak diambil bekerja.

Leissner seterusnya mengesahkan bahawa dia menerima butiran maklumat atau CV Nooryana melalui Jho Low.

Ng dibicarakan kerana melanggar undang-undang antirasuah, dengan mengelak kawalan akaun dan pengubahan wang haram. Kes itu dibicarakan di Mahkamah Daerah Timur New York.

Pada 2018, Leissner mengaku salah melanggar undang-undang antirasuah AS dan tuduhan bersubahat menyeleweng wang. Dia memberitahu mahkamah bahawa dengan merasuah pegawai warga Malaysia dan UAE telah membantu Goldman Sachs mendapatkan satu perjanjian bagi meraih AS$6.5 bilion untuk 1MDB.

1MDB merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2009 ketika Najib adalah perdana menteri dan menteri kewangan. Syarikat itu dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Syarikat itu meraih RM42 bilion daripada pinjaman dan pihak pendakwaan mendakwa sebahagian besar daripadanya telah diselewengkan.

“Yang arif. Tujuan membayar rasuah dan sogokan adalah untuk mempengaruhi pegawai-pegawai kerajaan untuk mengambil tindakan rasmi supaya Goldman Sachs dapat menerima perniagaan daripada 1MDB.

“Saya mengambil bahagian dalam proses membayar sebahagian daripada rasuah dan sogokan ini. Saya juga tahu bahawa sebahagian daripada wang yang akan digunakan untuk membayar rasuah dan sogokan kepada pegawai-pegawai kerajaan, akan melalui sistem perbankan AS,” kata Leissner di mahkamah ketika mengaku bersalah.

Goldman Sachs mengaut kira-kira AS$600 juta dalam bentuk komisyen dalam proses itu. Mahkamah akhirnya mengarahkan Leissner untuk membayar AS$44 juta.

Sejak itu, Goldman Sachs telah membayar berbilion dolar denda kepada pelbagai pihak berkuasa. Untuk Malaysia pula, ia berikrar membayar AS$3.9 bilion kepada sebagai sebahagian daripada penyelesaian. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply