Nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat bertentangan keputusan Parti

Nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat bertentangan keputusan Parti
Kuala Lumpur, MTN – Keputusan Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKKLU), bercanggah keputusan PKR.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pimpinan parti itu sudah memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membatalkan penyahwartaan itu sejak tahun lalu.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, keputusan dibuat kerajaan negeri itu juga belum dimaklumkan kepada pimpinan PKR.
Sehubungan itu, katanya, Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor diminta memberi penjelasan berhubung keputusan kontroversi kerajaan negeri itu dalam pertemuan bersama pimpinan parti, esok.
“Saya meneliti laporan dan aduan berkenaan tindakan Kerajaan Selangor yang telah melakukan penyahwartaan HSKKLU pada Mei yang lalu, dan mengambil maklum Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak cadangan itu.
“Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti.
“Malah pimpinan PKR sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara itu.
“Menteri Besar telah diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, dalam penggulungan di DUN Selangor, berkata kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.
Katanya, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Mei lalu, dengan jumlah keluasan HSKKLU yang ingin dinyahwarta itu adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan, iaitu kira-kira 991.90 hektar.
Jelasnya, keputusan menyahwarta sebahagian HSKKLU dibuat Kerajaan Selangor selepas mengambil kira bantahan dan kepentingan biodiversiti serta Orang Asli.
Media sebelum ini melaporkan, cadangan penyahwartaan HSKKLU itu adalah bagi pelaksanaan projek pembangunan bercampur itu mendapat bantahan pelbagai pihak, kerana ia akan memusnahkan khazanah alam semula jadi di hutan simpan itu, yang dianggarkan berusia 8,000 tahun. [BH]
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia