Tunku Ismail Berharap Rakyat Johor Dapat Vaksin Secepat Mungkin | Malaysia News
September 17, 2024

Tunku Ismail berharap rakyat Johor dapat vaksin secepat mungkin

TMJ - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim

Tunku Ismail berharap rakyat Johor dapat vaksin secepat mungkin

Johor Bahru, MTN – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim bertitah, pertemuan baginda dengan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamdad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu hari ini adalah bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi program vaksinasi di negeri ini.

Tunku Ismail dalam muat naik di akaun Facebook rasmi, bertitah pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim itu adalah untuk mencari ruang supaya rakyat negeri ini dapat menerima vaksin secepat mungkin.

Susulan perjumpaan itu, titah baginda, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity (di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta – PIKAS) yang dikawal selia Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)) akan mendapat 70,000 dos vaksin pada Khamis ini.

“Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama kerajaan Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar.

“Kerajaan Johor menyediakan khemah yang lebih besar untuk COVID-19 ‘Temporary Treatment Centre’ (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

“JKNJ juga telah memulakan sistem perkhidmatan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya (VCAC) bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing,” titah baginda.

Selain Hasni dan Dr Aman, pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani. Ia diadakan untuk baginda mendapat laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin di PPV Educity, pembatalan temu janji untuk vaksinasi di Johor selain program vaksinasi pekerja kilang di negeri ini.

Tunku Ismail berharap rakyat Johor dapat diberi vaksin secepat mungkin, sekali gus negeri ini dapat mencapai imuniti kelompok.

“Alhamdulilah, pertemuan ini berjaya membuka ruang penyelesaian isu berbangkit dihadapi program vaksinasi di Johor. Namun, kami harus bekerja lebih keras lagi demi kebajikan dan kesejateraan rakyat terus terjamin,” titah baginda. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply