PAS-UMNO Bukan Penyatuan Melayu | Malaysia News
September 19, 2024

PAS-UMNO bukan penyatuan Melayu

Anwar Ibrahim

PAS-UMNO bukan penyatuan Melayu

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak dakwaan penyatuan UMNO dan PAS adalah untuk memastikan kepentingan Melayu di negara ini terjamin.

Sebaliknya, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) juga sebuah parti yang menjaga kepentingan Melayu serta memastikan perpaduan di antara semua kaum yang ada di negara ini.

 

Katanya, perkara paling utama adalah menjadi sebuah kerajaan yang baik dan berusaha untuk membantu segenap lapisan rakyat.

“Melayu bukan hanya PAS dan UMNO saja, dalam Keadilan (PKR) juga kita mempunyai ramai Melayu… masyarakat serta mereka yang berpersatuan juga ramai.

“Ia bukan sekadar mengenai perpaduan Melayu semata-mata tetapi membela Islam dan bahasa, malah menjaga kepentingan semua rakyat dan kaum,” katanya mengulas pertemuan penyatuan ummah antara pemimpin tertinggi UMNO dan PAS, hari ini.

Anwar ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Lim Kit Siang.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dalam memastikan pentadbiran kerajaan yang baik, isu kemiskinan yang berlaku pada semua kaum harus ditangani dengan serius.

“Majoriti rakyat miskin adalah Melayu, namun ada di kalangan rakyat kaum India di estet-estet yang mesti dibela. Kelompok miskin dari kaum Cina juga perlu dibela termasuk miskin bandar,” katanya.

Ditanya mengenai gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban A Kumaresan yang mahu Anwar segera dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau berkata, setiap ahli parti perlu menghormati semangat parti yang sudah terjalin.

“Ahli Parlimen dan ADUN perlu hormat semangat parti dan menyokong kepimpinan Tun (Dr) Mahathir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Mesyuarat Kaukus hari ini disertai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang membentangkan lebih lanjut mengenai Pelan Antirasuah Nasional ( NACP) 2019-2023 yang dilancarkan baru-baru ini.

– Bharian

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply