Pendirian UMNO Kini Berubah 'Yes Anwar, Yes Dap' Selepas PH Jumpa PM | Malaysia News

Pendirian UMNO kini berubah ‘Yes Anwar, Yes Dap’ selepas PH jumpa PM

Mat Sabu - Anwar Ibrahim - Ismail Sabri - Lim Guan Eng

Pendirian UMNO kini berubah ‘Yes Anwar, Yes Dap’ selepas PH jumpa PM

Kuala Lumpur, MTN – Agenda kepentingan rakyat menjadi tumpuan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin- pemimpin pembangkang pada Rabu.

Ismail Sabri bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu di pejabatnya bermula jam 2 petang dan berakhir jam 3.30 petang.

PH memberi jaminan tidak akan “mempersulitkan” undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika dia mengambil langkah demi kepentingan rakyat.

“Kita beritahu kalau suasana begini, kalau program-program (yang dibuat) pro kepada rakyat, kita tak akan persulitkan (undi percaya),” katanya kepada pemberita di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Pertemuan dan perbincangan itu diadakan bagi merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

Anwar berkata, pertemuan hari ini dibuat susulan titah tersebut. Antara yang dibincangkan adalah program pro-rakyat yang memberi tumpuan kepada isu kemiskinan dan pekerjaan.

Dia menyifatkan pertemuan itu sebagai “permulaan yang baik” dan pertemuan peringkat jawatankuasa akan disertai wakil-wakil pembangkang.

“(Mereka akan bincang tentang) apa yang boleh dipersetujui dan langkah yang harus diambil supaya keadaan, kedudukan perdana menteri dan negara lebih terkawal dan aman politiknya,” katanya lagi.

Mat Sabu - Anwar Ibrahim - Ismail Sabri - Lim Guan Eng

Dalam satu kenyataan bersama antara Perdana Menteri dan tiga pemimpin pembangkang berkenaan, ia bagi mencari titik persamaan terbaik untuk menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa, keselamatan diri dari ancaman wabak selain membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan serta pendapatan.

“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus serta memenuhi kehendak rakyat,” kata dalam kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, Ismail Sabri bersama Anwar, Guan Eng dan Mohamad turut bersetuju dan memahami kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi serta tatakelola kerajaan yang baik.

“Ini bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya.

Selain inisiatif pro-rakyat, Anwar berkata Lim membangkitkan isu ekonomi termasuk moratorium pinjaman manakala Mohamad menyentuh soal kesan wabak Covid-19.

Namun anwar berkata isu penyertaan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara – yang disebut Ismail sebelum ini – tidak dibincangkan.

PH setakat ini belum membuat keputusan untuk menyertainya.

Menurut Anwar lagi, soal jawatan kabinet juga tidak dibincangkan dan memang pendirian PH untuk tidak menggesanya, sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah wabak dan ekonomi.

“Saya juga ucap terima kasih. Ismail wakili Umno dan bincang dengan Anwar dan DAP.

“Saya gurau dengan dia (pendirian Umno) ‘no Anwar, no DAP’ nampaknya dah berubah,” katanya lagi.

Pendirian tersebut ditetapkan ketika perhimpunan agung Umno dan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Ia dilihat sebagai halangan utama bagi Anwar dalam mendapatkan sokongan kem presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam usahanya mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply