Penghasil Merosot, Pengusaha PKS Minta Kerajaan Bantu Kurangkan Beban Sewa | Malaysia News
February 23, 2024

Penghasil Merosot, Pengusaha PKS Minta Kerajaan Bantu Kurangkan Beban Sewa

Penghasil Merosot, Pengusaha PKS Minta Kerajaan Bantu Kurangkan Beban Sewa

Kuala Lumpur, MTN – Ekoran pengumuman potongan cukai pendapatan tambahan buat pemilik premis perniagaan yang mengurangkan sewa premis mereka, banyak pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menikmati pengurangan sewa yang diberikan pemilik premis masing-masing.

Namun, bagi sesetengah pengusaha, masih ada yang mengadu tersepit kerana diminta membuat bayaran penuh atau diberikan hanya sedikit pemotongan sewa premis mereka.

Menurut pengusaha pusat pembelajaran My Skola+, Edwin Lam Choong Wai, meskipun telah merayu sebanyak tiga kali agar sewa premisnya sebanyak RM1,650 sebulan dapat dikurangkan, tuan tanah tetap bertegas agar bayaran sewa dibayar dalam bayaran penuh.

Katanya, dia berusaha meminta pengurangan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan dilanjutkan buat kali pertama, dan kemudiannya merayu lagi buat kali kedua, namun tuan premis menolak untuk berbincang dan hanya meminta bayaran dibuat secara penuh.

“Paling baru (kali ketiga), saya hantar kenyataan perdana menteri tentang diskaun sewa yang boleh dipotong dalam cukai pendapatan, dia tak mahu balas,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, pusat pembelajarannya sudah lebih sebulan tidak beroperasi, sekali gus menyebabkan dia putus pendapatan.

Insentif khusus

Meskipun tidak menyalahkan sepenuhnya pemilik premis, memandangkan mereka juga mungkin pengusaha PKS sepertinya yang turut kehilangan punca pendapatan, Lam yakin, kemelut yang dialaminya turut menimpa ramai lagi pengusaha PKS yang menyewa di luar sana.

Oleh itu, Lam meminta pertimbangan kerajaan agar insentif khusus yang sepatutnya diberikan buat pemilik premis, dapat dipindahkan kepada penyewa yang dihimpit masalah seperti dirinya, agar setidak-tidaknya, beban mereka dapat dikurangkan.

“Saya harap kalau kerajaan boleh sekurang-kurangnya benarkan, agar amaun (pengurangan sewa) itu dipindahkan kepada kami, atau amaun itu ditolak daripada cukai pendapatan kami.

“Saya tak rasa kami bersendirian. Saya yakin banyak lagi PKS yang menyewa bukan dengan syarikat besar, tetapi dengan SME juga, atau individu persendirian.

“Ini boleh menjadi (keadaan) yang amat sulit (buat penyewa). Mungkin kerajaan boleh tengok semula pelaksanaan,” katanya lagi.

Pada 6 April lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam pakej itu, diumumkan bahawa pemilik premis swasta yang mengurangkan sewa sebanyak sekurang-kurangnya 30 peratus, layak mendapat potongan cukai tambahan bersamaan dengan pengurangan tersebut.

Sementara itu, bagi pengusaha aksesori telefon, Rustam Aritz Che Mat, 33, dia masih mendapat pengurangan sewa, namun, memandangkan dia mengendalikan tiga rangkaian kedai di Perak, isu bayaran sewa masih menjadi kerunsingan besar buatnya.

Francaisi Gadgets World 666 Sdn Bhd (Gadets World) itu memberitahu, meskipun dua rangkaian kedainya mendapat pengurangan 50 peratus daripada pemilik, satu lagi hanya mendapat pemotongan 10 peratus sahaja.

“Kami kedai gajet, tak boleh beroperasi (macam biasa), jadi tak boleh jana pendapatan. Kami dah rayu banyak kali pun, dia (pemilik) memang tak layan.

“Dia kata kalau tak boleh bayar, ambil barang, turunkan papan tanda semua, sila keluar. Tiada rundingan lah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Memandangkan setiap premis disewa dengan sewa yang agak tinggi hampir RM4,000 sebulan, dia benar-benar terbeban dengan bayaran sewa untuk ketiga-tiga kedainya, lebih-lebih lagi yang hanya mendapat sedikit pengurangan itu.

Pendapatan merosot

Keadaan lebih baik buat pengusaha PKS yang menyewa di premis kerajaan, apabila terdahulu pada 27 Mac, ketika Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, mereka mendapat pengecualiaan sewaan selama enam bulan.

Namun, mereka juga tidak terlepas daripada memikirkan soal pendapatan harian dalam keadaan bilangan pelanggan merosot teruk dalam musim PKP ini, lebih-lebih lagi buat yang bergantung pendapatan sepenuhnya pada perniagaan yang diusahakan.

Bagi tukang jahit sepenuh masa Norkamsiah Alias, 59, yang menyewa premis di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, sepanjang PKP ini, pendapatannya merosot sehingga hanya RM30 sebulan, berbanding kira-kira RM800 sebulan sebelum PKP dikuatkuasakan.

Namun, dengan tanggungan seorang anak yang baru habis belajar dan seorang ibu tua yang memerlukan perbelanjaan lampin pakai buang dan susu, ibu tunggal itu tetap membuka kedainya setiap hari dan menjahit baju, dengan harapan ia dapat dijual selepas PKP ditamatkan.

Oleh hal itu, bagi Norkamsiah yang turut menetap di PPR sama, pengecualiaan sewaan premis itu benar-benar dapat mengurangkan bebannya, selain bantuan lain yang diterimanya sepanjang musim PKP termasuklah bantuan makanan asas dan bantuan kewangan.

Namun, bagi penyewa di premis swasta seperti Lam dan Rustam, di kala tarikh tamat PKP masih belum dapat dipastikan, masa depan perniagaan mereka juga masih samar-samar.

Kata Lam, sekiranya perusahaan pusat pembelajarannya hanya dibenarkan beroperasi selepas hari raya nanti, dia akan berdepan masalah besar.

“Saya memang garu kepala. Ini memang rumit. Saya jangkakan, kemungkinan paling teruk hanya boleh buka bulan Jun, selepas raya. Kalau begitu, wow, itu memang masalah besar.

“Maknanya, tiba bulan saya tak ada perniagaan (pendapatan). Tersepit,” tambahnya yang masih perlu melangsaikan sewa penuh sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Hari ini, kerajaan dilaporkan akan memutuskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan operasi taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) sepanjang PKP keempat yang bermula 29 April hingga 12 Mei.

Ini ekoran persetujuan kerajaan untuk membenarkan sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi semasa PKP tahap 1,2 dan 3 untuk meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing bermula semalam.

Bagi Rustam pula, dia menganggarkan dapat bertahan untuk lima bulan sahaja, dan sekiranya PKP dilanjutkan lebih lama daripada itu, katanya, dia akan gulung tikar dan “hilang segala-galanya”.

“Kalau tutup awal (sekarang), kita tak hilang semua. Sekarang kita berjudi nasib, sebab kita percaya benda ni (PKP) paling lama sampai raya.

“Sekarang kita baru (hampir) dua bulan, kita ada tiga bulan lagi. Kalau lebih daripada lima bulan, syarikat tak ada, duit pun tak ada (gulung tikar). Kita mula semula dari kosong.

“Terpaksalah hadap perkara ni. Sama ada kita tutup, atau teruskan. Dua pilihan sahaja. Sekarang kita pilih untuk berjudi nasib,” katanya lagi.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply