Pengumuman Besar Malam ini – PM Malaysia Nyatakan Lockdown, Covid-19: Tindakan sekatan, penutupan perlu dilaksanakan
Pengumuman Besar Malam ini – PM Malaysia Nyatakan Lockdown, Covid-19: Tindakan sekatan, penutupan perlu dilaksanakan
Pengumuman Besar Malam ini – PM Malaysia Nyatakan Lockdown
Covid-19: Tindakan sekatan, penutupan perlu dilaksanakan
Kuala Lumpur, MTN – PM Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan sedar tindakan sekatan dan penutupan menimbulkan kesulitan dan kesukaran kepada rakyat.
“Malam ini, sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan situasi semasa ancaman wabak Covid-19 yang telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia,” dalam pidatonya Senin (16/3) malam ini.
“Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih,” lanjut Muhyiddin.
“Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (Lockdown), mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara,” tegasnya.
Bagaimanapun, katanya, tindakan sekatan dan penutupan perlu dilaksanakan bagi membendung COVID-19 yang berupaya meragut nyawa rakyat.
Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan khas yang siarkan secara langsung di siaran televisyen dan media sosial, malam ini.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac depan bagi menangani Covid-19.
“Perintah kawalan pergerakan ini adalah bertujuan untuk memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya dan aktiviti harian dapat diteruskan semula seperti biasa.
“Sepanjang tempoh ini, jentera dan perkhidmatan kerajaan akan terus berfungsi seperti biasa,” kata MKN pada suatu kenyataan malam ini.
Perintah mengawal pergerakan ini, kata MKN diambil kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan “tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia.”
Perintah kawalan pergerakan itu adalah seperti berikut:
- Melaksanakan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai dalam semua keadaan dan tempat di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
- Melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negarea dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin di rumah selama 14 hari.
- Melaksanakan sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
- Melanjutkan tempoh cuti persekolahan ke atas semua sekolah di seluruh negara sehingga 31 Mac 2020.
- Menangguhkan sesi pengajian di semua institusi pendidikan tinggi (awam dan swasta) di seluruh negara. Walau bagaimanapun IPT boleh melaksanakan sesi pengajian secara atas talian.
- Menggalakkan kerja dari rumah bagi semua pejabat kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan-perkhidmatan penting seperti kesihatan, farmasi, keselamatan, perkhidmatan utiliti (air, tenaga dan komunikasi), pengangkutan, perbankan/ kewangan dan peruncitan/ bekalan makanan.
- Premis tumpuan ramai seperti rumah ibadat, panggung wayang dan pusat-pusat hiburan ditutup dan melaksanakan proses sanitasi dalam tempoh tersebut
- Kemudahan pengangkutan awam termasuk hab pengangkutan akan terus beroperasi. Semua operator digesa melaksanakan proses sanitasi di fasiliti dan kenderaan masing-masing.
Perintah kawalan pergerakan ini diputuskan susulan mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini.
Kerajaan juga, kata MKN akan terus memperkukuhkan langkah kawalan yang telah dilaksanakan.
“Meneruskan kempen kesedaran kebersihan bagi mencegah penularan Covid-19 di semua platform media.
“Mewartakan Institut Latihan Awam (ILA) yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin di bawah Akta 342 untuk digunakan apabila terdapat keperluan,” kata MKN lagi.
Selain itu, MKN mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang menyebarkan “berita palsu dan melanggar perintah kawalan pergerakan di bawah akta-akta berkaitan.”
MKN memutuskan perintah kawalan pergerakan tersebut susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Malaysia. Kementerian Kesihatan merekodkan 553 kes hari ini.
Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menjadi korban Covid-19 yang telah meragut 6,650 nyawa di seluruh dunia.