PH: Agensi Kerajaan Jangan Dijadikan 'Senjata Politik' | Malaysia News

PH: Agensi Kerajaan Jangan dijadikan ‘Senjata Politik’

PH: Agensi Kerajaan Jangan dijadikan ‘Senjata Politik’

Shah Alam, MTN – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendakwa terdapat usaha menggunakan agensi kerajaan untuk memberi tekanan kepada ahli Parlimen pembangkang agar menyokong Perikatan Nasional (PN).

Majlis Presiden PH mendakwa pihaknya difahamkan antara agensi yang dijadikan “senjata politik” adalah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, melibatkan ahli Parlimen pembangkang, pegawai serta ahli keluarga mereka.

“Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang. Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima,” dakwa Majlis Presiden PH dalam kenyataan.

“Kami percaya ini telah dilakukan terhadap termasuk Lim Guan Eng dan isteri, Larry Sng, Steven Choong, dan kini secara tidak langsung terhadap Datuk Dr Xavier Jayakumar,” kata mereka pada Jumaat.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis Presiden PH mendakwa tekanan tersebut telah diberikan kepada Lim dan isterinya, dua ahli Parlimen PKR yang keluar parti baru-baru ini iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau), dan kini “secara tidak langsung” Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar.

Terdahulu, Sng dan Choong berkata mereka membuat keputusan menyokong PN demi kepentingan pengundi mereka.

Choong berkata dia memerlukan akses untuk berjumpa menteri dan ketua agensi kerajaan bagi menyelesaikan isu rakyat, manakala Sng berkata dia perlu memainkan peranan menyokong Muhyiddin dalam melakukan apa yang perlu untuk membantu rakyat pada masa sukar ini.

Ahli Parlimen Sekijang daripada PKR, Natrah Ismail pula baru-baru mendakwa dikunjungi dua individu pada 3 Mac lalu yang bertanya sama ada dia berminat untuk menyokong Muhyiddin serta manfaat yang akan diperolehinya.

Bagaimanapun, Nathrah tidak mendedahkan lanjut identiti dua individu yang mengunjunginya itu atau butiran tawaran yang diterimanya jika menyokong kerajaan PN.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH berkata persaingan politik di negara ini wajib berlaku dalam suasana sihat dengan amalan demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“PH mengecam sekeras-kerasnya penggunaan agensi sebagai ‘senjata politik’, terutama bagi tujuan menambah sokongan kerajaan minoriti PN,” katanya lagi.

Pada 27 Feb lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa ada langkah terancang oleh “pihak tertentu” untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat pembangkang.

Tanpa mengulas lanjut berkenaan pihak tertentu yang dimaksudkannya, dia mendakwa ia dibuat menerusi ugutan dan umpan habuan “samada berkait isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau melalui tawaran projek dan jawatan dalam GLC”.

Kata mereka, pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

PH kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta juga pembekuan akaun bank untuk menambahkan pendapatan kerajaan yang kian berkurangan.

Tindakan “memeras” perniagaan dalam keadaan kemelesetan ekonomi harus ditangguh kerana ia akan menyukarkan survival perniagaan dan menjejaskan pekerjaan.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply