PH Memulakan Rundingan Kerusi, Tak Tolak Kerjasama dengan Umno
PH Memulakan Rundingan Kerusi, Tak Tolak Kerjasama dengan Umno
Petaling Jaya, MTN – Pakatan Harapan (PH) telah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRU akan datang, kata pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, PH turut mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain.
“Majlis Presiden PH telah putuskan beberapa perkara, termasuk kerjasama jentera pilihan raya dan untuk memulakan rundingan kerusi melibatkan parti komponen PH terutamanya, dan juga mengambil kira peruntukan untuk parti rakan yang lain.
“Tetapi pada tahap ini, kita akan lantik seorang jurucakap,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Sidang media diadakan sempena pelancaran inisiatif baru PKR bagi membantu wanita yang berdepan masalah, sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata rundingan kerusi antara parti komponen PH telah mencapai “peringkat selanjutnya” (advanced stage).
Pada tahap ini, mereka memberi tumpuan kepada parti dalam PH sebelum mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang lain, katanya lagi.
Kedua-duanya juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno dalam PRU akan datang.
Ia susulan keputusan Umno minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.
“Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tak berbangkit setakat ini, walaupun kita jelas…kita dukung siapa saja yang boleh terima yang kita (PH) dukung tadbir urus yang baik, tolak rasuah, tolak segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa dan jaga (hak) orang Melayu, Bumiputera dan semua kaum,” kata Anwar.
Fahmi ketika ditanya media pagi ini pula berkata, kerjasama seumpama itu tidak mustahil dan pernah dilakukan PKR sebelum ini.
“Saya rasa itu bukan perkara mustahil, tapi garis panduan yang diberikan, contohnya oleh Anwar, sangat jelas.
“Kita ada prinsip dan pegangan dan tidak akan melanggarnya. Kita boleh kerjasama dengan semua pihak.
“Malah sebelum ini kita kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad, dan (kerjasama seumpama itu) perlu berlandaskan prinsip dan pegangan,” katanya lagi.
Berkenaan insiden mutakhir ini, persamaan dalam kenyataan media yang dikeluarkan PH dan BN.
Berikut adalah jawapan Fahmi: “Saya tak nafikan ramai berasa gusar melihat ada perenggan yang serupa, dan orang yang paling gusar sekarang ini adalah Annuar Musa.
“Dia yang paling terkesan sebab saya rasa dia mungkin risau hilang jawatan,” katanya.