Kursus Karate Bukan Penyelesaian Keganasan Rumah Tangga


Kursus Karate Bukan Penyelesaian Keganasan Rumah Tangga
Petaling Jaya, MTN – Penganjuran kursus seni mempertahankan diri, karate untuk kaum wanita bukan penyelesaian kepada masalah keganasan rumah tangga, kata bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau sebaliknya berkata, isu berkenaan perlu ditangani dengan memperkasakan wanita menerusi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang.
“Untuk mempertahankan diri itu betul dalam apa pun. Tapi dalam erti kata untuk menyelesaikan keganasan rumah tangga, itu (kelas karate) bukan penyelesaian. Tak kan kita berlawan pula dalam rumah tangga. Ia lebih daripada itu.
“Suasana kekeluargaan, suasana kasih sayang itu yang telah hilang. Kerana itu kita mahu (penguatkuasaan) undang-undang,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sambutan Hari Wanita Sedunia di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie yang mahu sayap parti itu mengadakan kelas karate secara maya.
Ia dinyatakan semasa menyampaikan ucapan pada perhimpunan agung MCA baru-baru ini bagi meningkatkan keupayaan mempertahankan diri wanita seterusnya mengelak menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Sehubungan itu, Wanita MCA akan bekerjasama dengan Persekutuan Karate Malaysia dan pelbagai pertubuhan Cina untuk mengadakan kelas latihan karate secara percuma secara maya bermula 12 hingga 20 Mac ini. [sh]
Author Profile

Latest entries
Tokoh2023.05.29PAS Bermimpi Ditawar Sertai Kerajaan, Kata TPM Zahid
National2023.05.28Seorang wanita sambut Mahiaddin ‘Selamat datang kluster mahkamah’
Top Issues2023.05.27Dana Judi: ‘Saya tak keluar kenyataan jika tiada asas’ – PM Anwar
Top Issues2023.05.26Dana Judi: Muhyiddin Yassin pertimbang saman PM Anwar