PH Gesa Kerajaan Berperikemanusiaan Kuatkuasa SOP
PH Gesa Kerajaan Berperikemanusiaan Kuatkuasa SOP
Kuala Lumpur, MTN – Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan untuk bersikap berperikemanusiaan dalam tindakan penguatkuasaan undang-undang berhubung prosedur operasi standard (SOP).
Menerusi kenyataan hari ini, PH turut menuntut kerajaan untuk menunjukkan langkah-langkah yang diambil secara saintifik dan berasaskan data dalam merangka SOP.
“Sebagai contoh, pembasuh pinggan yang miskin tidak akan dikenakan kompaun RM10,000 hanya kerana mereka terlanggar SOP dalam keadaan yang tidak menjejas keselamatan orang lain,” katanya.
Sekretariat PH juga menegaskan Ahli-Ahli Parlimen PH komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Pusat malah juga negeri untuk memberi input dan cadangan bagaimana dasar untuk mengekang penularan Covid-19 dapat dirangka dan dilaksana dengan lebih baik.
“Ini termasuk juga bekerjasama dengan Kerajaan Negeri yang ditadbir PH agar tindakan penguatkuasaan serta garis-garis panduan adalah jelas, telus dan berperikemanusiaan.
“Kebanyakan dari dasar-dasar dan proses-proses yang tidak dirangka dengan baik ini boleh dielak sekiranya pindaan undang-undang dibincang dengan teliti serta dibahas di Parlimen.
“Rasional tidak memanggil sidang Parlimen untuk memudahkan pindaan undang-undang sedia ada – yang sepatutnya membantu mengawal penularan Covid-19 – terbukti tidak benar,” kata Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Timbalan Pengarah Pendidikan Politik DAP Ong Kian Ming.
Majlis Setiausaha PH turut menyebut amat prihatin berkaitan isu keperlembagaan mengenai kompaun terhadap individu pada ketika perincian kesalahan belum lagi dimuktamadkan.
Lebih berkesan
Sehubungan itu, PH setuju bahawa Peguam Negara perlu meneliti isu ini dari sudut pandang Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan asasi.
“Tambahan pada itu, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menjelaskan bagaimana perubahan dasar dan undang-undang ini telah membantu mengurangkan kes Covid-19 dengan cara yang bersasar, berkesan dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan ekonomi rakyat Malaysia terutama dari kalangan B40.
“Sebagai contoh, apakah bukti kerajaan bahawa nilai asal kompaun RM1,000 untuk mereka yang tidak mematuhi SOP di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) tidak berkesan dalam usaha mengurangkan jangkitan Covid-19?
“Apa yang telah membuatkan kerajaan percaya bahawa meningkatkan nilai ini kepada RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi syarikat akan menjadikan usaha mengekang penularan Covid-19 lebih berkesan?” soal PH lagi.
Dalam masa sama, PH menggesa Parlimen bersidang semula segera sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan negara, dari sudut kesihatan dan juga ekonomi, dengan menggubal undang-undang dan dasar-dasar yang lebih berkesan.[MD]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri