PH Kekal Sokong Anwar Ibrahim Sebagai Calon Perdana Menteri | Malaysia News
May 11, 2021

PH kekal sokong Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri

Seremban, MTN – Pakatan Harapan (PH) tetap menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun Presiden PKR itu ketika ini sedang terpalit dengan kontroversi audio yang didakwa mirip suaranya dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook, Ketua Pembangkang itu juga kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi PH.

Berucap pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan penggal ke-19 hari ini, Ahli Parlimen Seremban itu turut menambah parti komponen dalam PH tidak akan berpecah-belah, sebaliknya berdiri teguh bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita telah menyelesaikan beberapa isu dasar. Jelas bahawa PH akan tetap bekerjasama dan mengikat persaudaraan kita. Datuk Seri anwar adalah pemimpin kita dan calon Perdana Menteri.

“Tiada persoalan terhadap isu pimpinan, tiada persoalan bahawa kita tiga parti akan berpecah… tiga parti ini adalah parti hidup dalam PH. Kita mesti berpegang teguh dan berdiri sama-sama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya juga nak menyatakan dengan jelas bahawa DAP Negeri Sembilan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Menteri Besar Negeri Sembilan, dan beliau adalah panglima besar dalam PRU15 untuk tetap menawan Negeri Sembilan,” katanya dalam ucapan tersebut, di sini hari ini.

Advertisement

Hadir sama pada konvensyen tersebut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Aminuddin; serta Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abd Rahman.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Pengangkutan itu turut menyeru agar mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan PH di negeri ini harus dikekalkan.

Katanya, persediaan perlu dilakukan untuk menghadapi PRU15 yang digambarkan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Justeru tegas beliau, untuk mengekalkan mandat, parti perlu menunaikan manifesto yang dijanjikan, selain mengukuhkan perpaduan dalam komponen PH.

“Menunaikan janji adalah satu kewajipan, kerajaan PH jatuh di Putrajaya kerana ada orang yang tidak menunaikan janji.

“Tetapi kita tidak, kita tetap menjadi kerajaan kerana kita mempunyai pemimpin yang menunaikan janji. Kita menganggap manisfesto kita sebagai kitab kita juga,” katanya.
[AA]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •